Gelombang kebangkitan rakyat masih kuat
August 3, 2024
GUA MUSANG: Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) mempunyai keistimewaan tersendiri yang wajar dipilih pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri 17 Ogos ini.
Ketua Srikandi Muda Bersatu Malaysia, Nurul Fazilah Kamaruddin berkata, sifat yang ada pada calon PN, Mohd Rizwadi Ismail diperlukan masyarakat di DUN Nenggiri.
Lagipun, katanya calon PN sudah dikenali ramai sebagai seorang pemimpin sejak pulang ke kampung hampir 10 tahun lepas selepas menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera.
“Apa yang lebih penting penduduk tempatan dapat meluahkan rintihan kepada pemimpin mereka kerana calon PN tinggal di Bertam Lama,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya juga pemilihan calon PN dianggap begitu tepat kerana beliau sudah lama dikenali masyarakat tempatan dan Gua Musang.
Katanya, berdasarkan perkembangan tersebut beliau yakin DUN Nenggiri dapat dikekalkan memandangkan gelombang kebangkitan rakyat masih kuat sehingga sekarang.
“Saya yakin momentum Sungai Bakap akan dibawa ke DUN Nenggiri untuk memberi kemenangan yang lebih besar.
“Jentera PN termasuk dari Srikandi Muda sudah berada di sini dan akan turun berperingkat bermula hari ini. Dan dijangka lebih ramai lagi datang membantu calon selepas ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan