Pemimpin PN kunjungi pejabat Kesatuan Ulama Sedunia
August 3, 2024
KUALA LUMPUR: Pemimpin Perikatan Nasional (PN) mengambil kesempatan untuk turut mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Kesatuan Ulama Sedunia di Doha, Qatar.
Mereka dalam rangka lawatan kerja mewakili PN ke upacara solat jenazah dan pengebumian pemimpin kanan Hamas, As-Syahid Ismail Haniyeh yang terbunuh dalam serangan bom di Iran beberapa hari lepas.
Rombongan yang diketuai oleh Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi itu turut disertai oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari, Ketua ARMADA Parti Pribumi BERSATU, Wan Ahmad Faisal Wah Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Sik, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.
Mereka disambut oleh Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Prof Dr Ali Muhyiddin Ali Al-Qaradaghi.
Menurut Ahmad Fadhli, dalam kunjungan itu, kedua-dua pihak mengambil kesempatan bertukar-tukar pandangan berhubung situasi terkini umat Islam sedunia khususnya melibatkan perjuangan umat Islam di Palestin pasca kematian As-Syahid Ismail Haniyeh.
“Muhammad Khalil juga turut menyampaikan salam daripada Presiden PAS khususnya kepada seluruh kepimpinan Kesatuan Ulama Sedunia yang kini dipimpin oleh Dr Ali Al-Qaradhagi,” katanya menerusi kenyataan kepada Harakahdaily, hari ini.
Untuk rekod, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pernah menjawat jawatan sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia pada tahun 2014 sehingga 2018 ketika kesatuan tersebut dipimpin oleh Allahyarham Prof Dr Yusuf Al-Qaradawi selaku Presiden.
“Dr Ali Al-Qaradaghi juga turut mengambil kesempatan di dalam kunjungan ini untuk menyatakan harapan agar umat Islam di seluruh dunia khususnya di Malaysia dapat bersatu hati di dalam isu Palestin memandangkan tekanan antarabangsa terutama melalui lobi zionis semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Pasr Mas. – HARAKAHDAILY 3/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan