‘Perjuangan membela agama, bangsa, negara terus menyala’



‘Perjuangan membela agama, bangsa, negara terus menyala’
August 18, 2024

Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR: “Obor perjuangan untuk membela agama, bangsa dan negara ini akan terus menyala,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di Nenggiri yang telah mengundi calon PN pada Pilihan Raya Kecil (PRK), semalam.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua pimpinan dan petugas PN yang telah mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk membantu kempen PN di Nenggiri.

Katanya, beliau amat menghargai sumbangan dan penat lelah semua yang membantu kempen pada PRK itu.

“Walaupun kita mengharapkan kemenangan, kita menerima keputusan yang telah dibuat oleh pengundi dengan hati yang terbuka.

“Yang penting kita terus istiqamah dalam landasan perjuangan yang menguji kesabaran dan ketahanan kita,” ujarnya yang juga Presiden Bersatu dalam catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

Pada PRK DUN Nenggiri semalam, calon PN, Mohd Rizwadi Ismail meraih 5,739 undi manakala calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mendapat 9,091 undi.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan peratus yang keluar mengundi ialah 73.88 peratus. – HARAKAHDAILY 18/8/2024

Ulasan