RM5.5 bilion nilai tanah Duta Enclave
JABATAN Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) perlu mendedahkan nilai keseluruhan tanah Duta Enclave kerana ia berada di bawah bidang kuasa jabatan tersebut. - UTUSAN/AMIR KHALID
Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
16 Ogos 2024, 8:00 am
PETALING JAYA: Nilai keseluruhan 106.542 hektar tanah di Jalan Duta (kini Jalan Tuanku Abdul Halim) yang bakal ditukar hak milik daripada Kerajaan Malaysia kepada Semantan Estate (1952) Sdn. Bhd. dianggarkan antara RM4 bilion hingga RM5.5 bilion.
Nilai tersebut adalah jumlah yang kerajaan perlu bayar jika jalan penyelesaian pertikaian hak milik adalah menukarkan tanah milik kerajaan yang sama nilai dengan Duta Enclave untuk diberi kepada syarikat hartanah itu.
Berdasarkan penilaian kasar peratusan guna tanah atau zon perancangan plot, kawasan hijau/sukan termasuk stadium hoki dan masjid masing-masing (16 hektar/RM250 sekaki persegi) daripada keluasan kawasan tersebut.
Bagi kegunaan kerajaan, mahkamah dan arkib pula (38 hektar/RM400 sekaki persegi), kegunaan bercampur pejabat (16 hektar/RM800 sekaki persegi) dan rizab jalan raya (19 hektar/RM0 sekaki persegi).
Penilai hartanah yang enggan dinamakan berkata, jumlah keseluruhan itu diunjur jauh lebih tinggi jika mengambil kira kos pembinaan bangunan dan kemudahan lain di atas tanah Duta Enclave.
Mengambil contoh institusi Masjid Wilayah Persekutuan berkeluasan 47,000 meter persegi dengan kos pembinaan RM255 juta antara 1997 hingga 2000, kata penilai itu, kini dianggar berharga RM520 juta bersamaan RM11,000 semeter persegi atau RM1,000 sekaki persegi.
Bagaimanapun, penilai itu menegaskan, jumlah tersebut hanya secara kasar kerana tiada data cukup untuk mengenal pasti kegunaan setiap sublot, luas tanah, jenis bangunan dan luas ruang lantai setiap sublot.
Menurutnya, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta (JPPH) perlu mendedahkan nilai keseluruhan tanah berkenaan kerana ia berada di bawah bidang kuasa jabatan tersebut.
“Anggaran ini adalah nilai purata bagi komponen-komponen kegunaan tanah yang berbeza nilainya bagi setiap plot masing-masing,” kata penilai itu ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sementara itu, Perancang Bandar dan Penilai Hartanah Berdaftar, Mohd. Anuar A. Wahab berkata, harga keseluruhan tanah dinilai menggunakan kaedah berbeza dengan menekankan nilai tanah dan kos bangunan.
“Jika tanah itu kosong, maka kena lihat dari segi rancangan, zon dan apa yang boleh dibuat ke atas tanah itu seperti perumahan dan komersial. Ini yang akan mempengaruhi nilai tanah tersebut.
“Biasanya pemilik akan menggunakan tanah mereka yang mempunyai nilai tinggi di lokasi strategik untuk maksud pembangunan pada tahap tertinggi dan terbaik.
“Tetapi dalam kes Semantan Estate, sudah wujud pembangunan di atas tanah tersebut yang mempengaruhi peningkatan kos. Semantan Estate sudah tidak boleh membuat pembangunan semula,” katanya.
Akhbar ini terdahulu melaporkan menukar tanah sama nilai dengan Duta Enclave antara pilihan bagi menyelesaikan kes tanah milik Semantan Estate yang menang tuntutannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Bagaimanapun, pakar-pakar hartanah berpandangan, sukar untuk kerajaan menukarkan tanah yang mempunyai nilai sama dengan Duta Enclave untuk diberi kepada Semantan Estate sebagai penyelesaian pertikaian hak milik tanah berkenaan.
Profesor Perancangan Bandar dan Wilayah, Kolej Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah berkata, tanah Duta Enclave adalah antara bahagian utama di negara ini mempunyai harga hartanah paling tinggi di samping lokasi yang strategik.
Katanya, kerajaan perlu mencari keluasan tanah yang jauh lebih tinggi berbanding tanah Duta Enclave berkeluasan 106.542 hektar untuk ‘dilupus’ kepada Semantan Estate.
Kerajaan sudah memfailkan notis rayuan secara dalam talian terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Semantan Estate menganggarkan hasil perantaraan yang wajar diterima bagi tempoh 1957 hingga 2021 adalah antara RM3.1 bilion dan RM13.242 bilion berserta faedah. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan