Institusi pendidikan PAS sebagai medium tarbiah masyarakat
September 29, 2024
Share
Dr Aliakbar Gulasan
KOTA KINABALU: Pesuruhjaya PAS Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, institusi pendidikan PAS perlu menjadi medium tarbiah kepada semua.
Menurutnya, menjadi tanggungjawab kepada ahli lembaga institusi pendidikan untuk berperanan mentarbiah bukan sekadar pelajar bahkan kepada ibu bapa.
“Tugas kita bukan sekadar mendidik para pelajar soal pelajaran semata, bahkan memandu warga institusi memahami agama ini secara syumul, tujuan utama dalam kehidupan manusia, membanteras pemikiran sekular, liberal yang membawa manusia hanyut daripada ajaran Islam sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Konvensyen Sistem Pendidikan Integrasi Teras Islam Borneo di Dewan Budaya Pustaka Kota Kinabalu, di sini pagi ini.
Malah tambah beliau konvensyen itu bertujuan menyelaras kefahaman falsafah pendidikan yang dibangunkan bersama sedari awal lagi.
“Pertumbuhan institusi pendidikan kita begitu cepat dan laju meliputi hampir seluruh daerah di Sabah perlunya penyelarasan sistem, tujuan dan pendataan.
“Melalui PERINTIS ini, akan memayungi aktiviti tarbiah, pembelajaran dan pengajaran secara kolektif,” ujarnya lagi.
Konvensyen anjuran Pertubuhan Pendidikan Islam Teras Islam (PERINTIS) Sabah itu dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.
Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr. Abdul Halim Tamuri membentangkan kertas kerja pada program itu. – HARAKAHDAILY 29/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan