Jawatankuasa Fatwa Perlis isytihar GISB sesat



Jawatankuasa Fatwa Perlis isytihar GISB sesat
September 20, 2024

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mengisytiharkan kepercayaan dan ajaran dalam Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISB) sebagai sesat dan mengandungi unsur ajaran sesat khususnya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, fatwa berkenaan dikeluarkan setelah menerima bukti yang meyakinkan untuk jawatankuasa berkenaan memutuskan bahawa organisasi berkenaan adalah sesat.


“Setelah jawatankuasa berbincang, maka perkara berikut diputuskan bahawa kumpulan GISB Holdings Sdn. Bhd. yang mengkultuskan pemimpin mereka atau tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batasan ke tahap seakan menyamakan kedudukan pemimpin atau tokoh agama setaraf Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara ghaib seakan Tuhan adalah fahaman yang bersifat batiniyyah, menyeleweng dan sesat.

“Kesan dan akibat daripada pengkultusan itu melahirkan ketaksuban yang melampau sehingga mentaati pemimpin atau golongan agama sekalipun jelas bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah.

“Unsur ajaran batiniah berkenaan juga adalah kesinambungan daripada ajaran al-Arqam yang difatwakan sesat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, model ekonomi yang diamalkan oleh GISB bukan model ekonomi Islam sebenar dan bercanggah dengan prinsip ekonomi Islam kerana ia mempunyai unsur penindasan dan perhambaan, serta eksploitasi ke atas ahli, kanak-kanak, wanita dan keluarga demi kepentingan pihak yang dikultuskan.

“Dengan ini segala ajaran, aktiviti dan apa sahaja yang boleh membantu syarikat itu adalah dilarang. Jawatankuasa juga mencadangkan masyarakat Islam perlu membantu pemulihan ahli-ahli GISB yang ingin keluar dari kesesatan,” ujarnya.

Mohd Asri dalam pada itu menegaskan, GISB juga didapati mengikut secara membuta tuli dan mematuhi arahan pemimpin atau golongan agama sekalipun bercanggah dengan Islam.

“Malah, mereka juga dilihat mengambil keberkatan secara melampau dari sisa tubuh badan pemimpin mereka dan mengaitkan pemimpin mereka yang dikultuskan dengan unsur yang dapat menjustifikasikan tindakan mereka yang salah dengan menggunakan nama Imam Mahdi, jelmaan Rasulullah, karamah wali, keberkatan dan seumpamanya.

“Mereka juga mempercayai pemimpin mereka yang sudah mati sebenarnya masih hidup dan masih dapat memberi panduan kepada mereka.

“Malah, mereka mewujudkan hukum hakam syarak yang baharu untuk menjustifikasi aktiviti mereka yang bercanggah dengan syarak hukum hakam solat, pernikahan (munakahat) dan juga muamalat,” katanya.

Pengisytiharan oleh Jawatankuasa Fatwa itu sekaligus menjadikan Perlis negeri pertama yang mengisytiharkan organisasi GISB sebagai satu kumpulan ajaran sesat.

Terdahulu, pada 10 September lalu, seramai 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun dipercayai menjadi mangsa eksploitasi dalam serbuan di 18 rumah amal di Selangor serta Negeri Sembilan, yang dikaitkan dengan GISB. – HARAKAHDAILY 20/9/2024

Ulasan