Operasi cari mangsa tanah jerlus dihentikan atas faktor keselamatan
DR. ZALEHA Mustafa bercakap pada sidang akhbar di lokasi kejadian di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, semalam.
Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM
1 September 2024, 6:50 am
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India, Vijaya Lakshmi, 48, yang terjatuh dalam kejadian tanah jerlus di Masjid India di sini dihentikan serta-merta, semalam.
SAR yang memasuki hari kesembilan semalam sudah menggunakan pelbagai kaedah pencarian seperti teknik ‘flushing’, ‘jetter’ dan alat pengesan bawah tanah atau Radar Pengesan Bawah Tanah (GPR), penggunaan kamera dan alat robotik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, keputusan itu diambil selepas membentangkan kesemua dapatan dalam mesyuarat Kabinet Jemaah Menteri daripada agensi-agensi yang terlibat dalam SAR.
Katanya, ia disebabkan faktor keselamatan pasukan SAR selain kesihatan dan arus yang deras sehingga boleh membahayakan keselamatan anggota.
“Ini juga disebabkan keselamatan anggota di lokasi kejadian, sebagai contoh mendapan kedua yang membimbangkan kita.
“Setelah kita mengumpulkan semua bentuk kepakaran termasuk dari pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Indah Water Konsortiums (IWK), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Agensi Nuklear Negara telah diambil pandangan untuk menghentikan SAR semalam.
“Sebab diberhentikan ada beberapa perkara dan dapatan dikemukan pihak yang berada di lokasi khusus JBPM yang mengetuai SAR.
“Kita tidak boleh meneruskan atas sebab keselamatan anggota, dari sudut kesihatan dan arus yang deras,” katanya dalam sidang akhbar di lokasi kejadian di sini semalam.
Mengulas lanjut, menurut beliau, tindakan selanjutnya akan diteruskan dengan proses pemulihan (search and recovery) oleh PDRM kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dilakukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Antaranya, kata beliau, pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah yang akan dilaksanakan di seluruh Kuala Lumpur.
“Selain itu, sesi libat urus antara peniaga juga akan dilaksanakan bagi menyambung kembali aktiviti di kawasan ini, pihak DBKL juga diminta untuk melakukan kerja-kerja pembaikan semula,” katanya.
Dr. Zaliha berkata, kerajaan juga sedia mempertimbangkan untuk memberi pampasan kepada keluarga mangsa insiden tanah jerlus di Masjid India. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan