Pelabur asing tidak yakin kepada kerajaan hari ini
Bukan kerana faktor calon BN-PH kalah atau menang pilihan raya
September 21, 2024
KOTA BHARU: Menang atau kalah calon Barisan Nasional (BN) yang didukungi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 DUN Mahkota di Johor bukan lagi menjadi asas pelabur luar negara untuk datang melabur ke negara ini.
Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, hakikatnya para pelabur luar sudah lama tidak yakin pada kerajaan hari ini dan bukan hanya ‘menunggu’ keputusan PRK DUN Mahkota semata-mata.
Zailah berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching, yang mendakwa sekiranya calon mereka, Syed Hussien Syed Abdullah kalah pada PRK DUN Mahkota akan memberi gambaran ‘lain’ berkenaan politik dan ekonomi negara.
Pada masa yang sama, Nie Ching bimbang para pelabur luar tidak akan masuk untuk melabur lagi ke negara ini sekiranya calon mereka kalah pada PRK itu nanti.
Zailah turut berpendapat, bukan hanya pelabur, rakyat juga sudah tidak yakin dengan Kerajaan PH-BN yang memerintah negara hari ini.
“Kenyataan beliau (Nie Ching) turut menggambarkan rakyat Johor khususnya masyarakat Cina sendiri tidak yakin dengan calon yang ditampilkan Umno rakan kongsi mereka sendiri pada PRK kali ini.
“Mereka membayangkan bagaimana sukarnya membawa keluar pengundi Cina untuk mengundi calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Mahkota, 28 September ini,” ujarnya.
Kata Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan itu lagi, apa yang berlaku itu memberi gambaran betapa rakyat pelbagai peringkat telah menyatakan kesangsian terhadap kerajaan hari ini.
Tambahnya, ia turut memberi gambaran dalam pimpinan PH-BN hari ini tiada keserasian, kesatuan antara mereka sehingga sukar untuk menguasai pengundi Cina menyokong calon Umno. – HARAKAHDAILY 21/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan