Pelaburan asing di Kedah cecah RM107 bilion


Pelaburan asing di Kedah cecah RM107 bilion
September 2, 2024

Muhammad Sanusi pada Sidang Kemuncak Kesatuan Kerajaan Empat Negeri (SG4). (FOTO: HARAKAHDAILY/Muhammad Zharif Zulkiflee)

BANGI: Kedah telah menerima pelaburan asing sebanyak RM107 bilion dalam tempoh tiga tahun bermula pada 2021, khususnya dalam sektor industri pembuatan dan perkhidmatan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bagi tahun 2021, negeri itu meraih RM68.3 bilion pelaburan asing, (RM13.1 bilion (2022), dan RM28.7 bilion (2023); manakala suku pertama 2024 menyaksikan pelaburan asing sebanyak RM30.9 bilion.

“Meskipun kata orang ini adalah laman kerana kita berada di sebelah negeri jiran yang ada pelabuhan, namun demikian usaha yang dibuat oleh kerajaan negeri sejak tahun 2020, walaupun kita ada Kulim Hi-Tech Park yang didirikan sejak 1996.

“Namun sejak 1996 sehingga tahun 2020, jumlah pelaburan ini tidak boleh mengatasi pencapaian kami dalam tempoh tiga tahun setengah ini,” katanya pada Sidang Kemuncak Kesatuan Kerajaan Empat Negeri (SG4) di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Eksekutif SG4, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Tambah Sanusi, daripada 222,000 hektar kawasan penanaman padi yang ada di negeri itu, pihaknya hanya dapat mengutip cukai tanah berjumlah RM2.6 juta sahaja.

“Mahu tidak mahu, untuk meningkatkan pendapatan selain mengutip cukai tanah sahaja, kita sudah pun ada lebih 40 hektar tanah yang boleh dibangunkan dalam sektor lain seperti komersial, perumahan dan industri, tetapi kekal sebagai kawasan sawah padi.

“Daripada kawasan itu sahaja, kita boleh ubah daripada padi kepada sektor lain yang akan menjana RM200 juta cukai tanah kepada kerajaan negeri.

“Tetapi kita tidak ada pilihan kerana kita terletak dalam kawasan yang dikhususkan untuk tanaman padi.

“Kalau kerajaan persekutuan mahu kami kekalkan tanah-tanah ini sebagai tanah pengeluaran makanan negara, berikan kami peruntukan khas sebanyak RM200 juta untuk kami kekalkan tanah ini menjadi tanah padi,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu menegaskan bahawa pihaknya sudah membuka tangan seluas-luasnya bagi menjalinkan usaha sama dan berlapang dada terhadap kerajaan persekutuan.

“Namun dalam sektor-sektor tertentu khususnya di pihak kementerian yang dipimpin oleh pimpinan peringkat menteri yang terlalu tebal sentimen politiknya, kerjasama ini agak terbatas,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/9/2024

Ulasan