Perkahwinan kedua: Isteri pertama yang pinangkan

Perkahwinan kedua: Isteri pertama yang pinangkan
September 4, 2024


PADANG TERAP: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menafikan bahawa beliau ditangkap khalwat sebelum isu beliau berkahwin tular.

“Adakah patut saya dikata kena tangkap khalwat, tak patut sungguh. Saya kahwin elok, mengikut peraturan yang ditetapkan oleh negara kita,” jelas beliau.

Kata Sanusi, perkahwinan keduanya dengan seorang pegawai polis, direstu isterinya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh, anak-anak dan keluarga, malah isterinya sendiri yang tolong pinangkan.

Sanusi berkata, pengakuan itu dibuat kerana beliau tidak mahu kisah peribadinya terus menjadi bualan dan menjadi spekulasi sehingga ada yang mendakwa beliau ditangkap khalwat.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Geran Tanah Hak Milik di Dewan Komuniti FELCRA Belimbing, di sini hari ini.

Dalam pada itu Sanusi juga memaklumkan, beliau mula mengenali pegawai polis terbabit ketika kejadian letupan bom di kediaman rasmi Menteri Besar, Seri Mentaloon, tidak lama dahulu.

“Tapi kenal biasa saja. Lepas tu saya tak jumpa dia lagi. Tapi dia selalu juga datang mengaji (dengar kuliah) bersama isteri saya. Isteri saya lebih mengenalinya,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, isteri keduanya adalah seorang ibu tunggal dan mempunyai seorang anak.

ADUN Jeneri itu juga turut mengesahkan ungkapan ‘saya berjaya tangkap orang yang nak tangkap saya’ dalam ucapannya pada Sidang Kemuncak SG4 di Bangi kelmarin, bukannya merujuk menangkap pegawai polis yang menyiasat isu kecurian REE, dijadikan isteri.

‘Tangkap’ yang beliau maksudkan adalah kepada individu bergelar Menteri yang mendakwa kononnya beliau terlibat dengan kecurian REE di Kedah. – HARAKAHDAILY 4/8/2024

Ulasan