SG4 potensi urus sumber alam berteras SDG, ESG
September 6, 2024
AYER KEROH: Empat kerajaan negeri (SG4) iaitu gabungan negeri-negeri di bawah pemerintahan Perikatan Nasional boleh memanfaatkan potensi besar darinsudut kelebihan alam semulajadi yang dimiliki.
Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin berkata, negeri-negeri itu juga adalah negeri berasaskan pertanian yang memiliki hampir 70 peratus keluasan kawasan sawah padi negara.
“Negeri-negeri ini juga mempunyai sumber alam semulajadi seperti nadir bumi REE, keamatan cahaya matahari yang tinggi di Perlis dan Kedah yang sangat sesuai untuk industri tenaga hijau dan ladang solar.
“Tanah petanian yang luas, (mineral) dolomit di Perlis, musim kemarau yang nyata di Kedah dan Perlis amat sesuai untuk kita kembangkan tanaman mangga, kopi dan jagung bijirin dan banyak lagi,” katanya.
Menurutnya, beliau juga melihat banyak potensi-potensi ekonomi berasaskan kepada pertanian boleh dimaju dan dikembangkan dengan menggunakan teknologi moden.
“Tidak salah sumber-sumber ini ‘dieksploit’ berasaskan kepada ‘Sustainable Development Goal’ (SDG) dan ‘Environment, Social and Good Governance’ (ESG) yang hari ini menjadi piawaian dunia dalam menjaga kelestarian alam,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka dan Pengerusi Kluster Parlimen bagi Perladangan dan Komoditi Perikatan Nasional itu berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini.
Tambah beliau, jumlah keluasan hutan di SG4 boleh dimanfaatkan untuk aktiviti karbon kredit sesuai dengan Perjanjian Paris di mana negara berkomitmen untuk mencapai ‘net zero carbon emission’ menjelang 2050.
“Sebagai contoh Syarikat Mc Cormic telah melabur sebanyak RM360 juta membuka projek lada di Setiu, Terengganu dengan menggunakan Teknologi dan AI (kecerdasan buatan).
“Di samping itu kedudukanya bersempadanan dengan negara jiran Thailand boleh di manfaatkan untuk aktiviti pelancongan dan kerjasama ekonomi sempadan,” katanya.
Jelas Bakri, Kerajaan Pusat tidak perlu berdukacita kerana cukai keuntungan syarikat, cukai pendapatan pegawai syarikat akan tetap dibayar ke Pusat serta menyumbang kepada bertambahnya pendapatan negara. – HARAKAHDAILY 6/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan