Akibat salah faham sekumpulan lelaki bertindak samseng
October 8, 2024
Tangkap layar sekumpulan lelaki bertindak seperti samseng memukul seorang lelaki lain berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), Johor pada Isnin. (FOTO: FB ThisIsJohor)
KULAI: Polis menahan tujuh lelaki tempatan bertindak seperti samseng selepas disyaki terbabit memukul seorang lelaki lain di tepi jalan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS), di sini, lebih kurang jam 1.30 tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superitenden Polis (SUPT) Tan Seng Lee, berkata suspek berusia 25 hingga 40 tahun ditahan dan hasil semakan rekod mendapati empat suspek mempunyai pelbagai rekod lampau jenayah dan dadah.
“Siasatan awal pihak polis dapati punca kejadian adalah perselisihan faham antara mangsa dan seorang suspek yang masih bebas,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini.
Seng Lee berkata, pihaknya turut berjaya merampas dua buah kenderaan iaitu Honda Accord dan Mazda 6 serta alat kawalan jauh, empat buah telefon bimbit dan dua batang rotan.
“Laporan polis telah dibuat oleh mangsa lelaki tempatan berusia 39 tahun, sejurus selepas kejadian.
“Bertindak atas maklumat, jam lebih kurang 8 malam (semalam) sehingga hari ini lebih kurang 12.30 pagi tadi, sepasukan pegawai dan anggota polis D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor (IPK) bersama-sama pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai telah membuat serbuan di Skudai dan Johor Bahru,” katanya.
Oleh yang demikian, kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang antaranya adalah Seksyen 148 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
“Selain itu, Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh didenda atau dipenjara hingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Reman telah dipohon ke atas kesemua suspek dan telah mendapat kelulusan reman selama empat hari bermula 8 Oktober hingga 11 Oktober bagi meneruskan siasatan,” katanya lagi.
Justeru, Polis Daerah Kulai menasihati orang ramai agar tidak bertindak di luar batasan undang-undang.
“Tindakan tegas akan diambil bagi memastikan undang-undang dipatuhi dan mana-mana pihak yang dikesan sengaja melanggar undang- undang akan diambil tindakan,” katanya.
Terdahulu, Polis Diraja Malaysia telah terkesan satu video tular berdurasi 17 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook, This Is Johor seperti di pautan, https://www.facebook.com/share/r/BUZQUdfQqYAiF3VJ/?mixbextid=UalRPS. – HARAKAHDAILY 8/10/2024
Ulasan
Catat Ulasan