Atasi masalah kesihatan mental di tempat kerja
MAJIKAN diwajibkan menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat yang merangkumi kesihatan mental. – GAMBAR HIASAN
Oleh Meja Rencana
1 Oktober 2024, 9:00 am
KESIHATAN mental di tempat kerja semakin mendapat perhatian di seluruh dunia, termasuk Malaysia. Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP 1994), majikan bertanggungjawab memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja termasuk kesihatan mental.
Tekanan di tempat kerja adalah salah satu punca utama masalah kesihatan mental. Beban kerja berlebihan, ketidakpastian tentang masa depan pekerjaan dan konflik di tempat kerja semuanya menyumbang tekanan yang boleh membawa kepada keletihan melampau.
Di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP), tekanan kronik disebabkan persekitaran kerja boleh dianggap penyakit pekerjaan kerana boleh menyebabkan masalah kesihatan mental yang serius. Majikan perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk mengurangkan tekanan ini bagi mengelakkan penyakit pekerjaan berkaitan mental daripada berlaku.
AKKP mewajibkan majikan untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat dan sihat serta merangkumi kesihatan mental. Majikan perlu menyediakan sokongan yang mencukupi seperti program bantuan pekerja, khidmat kaunseling atau kursus pengurusan tekanan.
Selain itu, dasar-dasar yang jelas mengenai kesihatan mental dan keseimbangan kerja-hidup perlu diterapkan di tempat kerja. Dengan memberi perhatian kepada kesihatan mental, majikan boleh mengelakkan liabiliti undang-undang dan memenuhi tanggungjawab di bawah AKKP.
Buli adalah satu lagi faktor menyumbang kepada masalah ini. Buli boleh berlaku dalam pelbagai bentuk, termasuk gangguan verbal, pengasingan sosial atau tekanan yang berlebihan dari majikan atau rakan sekerja. Di bawah AKKP, majikan bertanggungjawab untuk memastikan tempat kerja bebas daripada tingkah laku yang boleh menjejaskan kesejahteraan mental pekerja. Buli bukan sahaja memberi kesan langsung terhadap mangsa tetapi juga mencemarkan budaya kerja dan menurunkan moral dalam organisasi.
Sokongan dari rakan sekerja dan budaya kerja yang mesra boleh memainkan peranan penting dalam mengurangkan tekanan.
Sistem mentor atau program sokongan sosial boleh membantu pekerja yang menghadapi cabaran kerjaya atau tekanan peribadi. Dengan menyediakan saluran yang selamat untuk pekerja meluahkan perasaan mereka, majikan bukan sahaja mematuhi keperluan undang-undang tetapi juga mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni.
Secara keseluruhannya, kesihatan mental di tempat kerja merupakan satu isu yang berkait rapat dengan penyakit pekerjaan di bawah AKKP 1994. Majikan perlu memberi perhatian kepada aspek ini dan mengambil langkah proaktif untuk melindungi kesihatan mental pekerja.-UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Pengurus Kanan,
Jabatan Keselamatan dan
Kesihatan Pekerjaan,
Kumpulan Interflour
Ulasan
Catat Ulasan