Banjir Perlis: Lima PPS dibuka, bantuan segera dihulur


Banjir Perlis: Lima PPS dibuka, bantuan segera dihulur
October 9, 2024


KANGAR: Seramai 686 mangsa banjir daripada 225 keluarga kini ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Arau dan Kangar.

Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding 195 mangsa yang dilaporkan pada malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud, tiga PPS di Arau iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah, SK Guar Nangka dan SK Arau kini menempatkan seramai 429 mangsa.

Manakala, 257 mangsa lagi berada di dua PPS di Kangar, iaitu di SK Sena dan SK Bintong.

PPS SK Bintong mula dibuka pada jam 9:00 malam semalam setelah paras air di Kampung Belanga Pudak dan Kampung Teluk Kacang mula meningkat, memaksa 78 mangsa daripada 24 keluarga dipindahkan.

ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail bersama Yang Dipertua PAS Kangar, Ustaz Yussaine Yahya turun padang bagi meninjau keadaan dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS tersebut.

Turut serta, Pengerusi Khidmat Malaysia Kawasan Kangar, Amirul Jufri Mat Saman.

Fakhrul Anwar menyeru orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan mereka, terutamanya ketika diminta berpindah ke PPS berdekatan.

“Terima kasih diucapkan kepada semua agensi yang terlibat atas tindakan pantas yang diambil bagi membantu mangsa banjir,” katanya.

Penduduk di kawasan berisiko banjir seperti Kampung Belanga Pudak dan Kampung Teluk Kacang diingatkan agar terus berwaspada memandangkan paras air dijangka terus meningkat. – HARAKAHDAILY 9/10/2024

Ulasan