Cerai bukan 'lesen' dedah aib pasangan, kisah rumah tangga




Cerai bukan 'lesen' dedah aib pasangan, kisah rumah tangga
Oleh Shafezah Abdul Wahab - Oktober 11, 2024 @ 8:33am

Meningkatkan kesedaran, menyediakan sokongan diperlukan dan memastikan proses perceraian dilaksanakan dengan adil adalah kunci mengatasi isu ini dan memastikan kesejahteraan individu dan keluarga dalam masyarakat. - Foto hiasan

DALAM Islam, perkahwinan adalah satu ibadah untuk mendekatkan pasangan kepada Allah. Ia bertujuan membina hubungan penuh kasih sayang dan tanggungjawab, mendukung kehidupan berlandaskan prinsip Islam.

Perkahwinan adalah satu cara mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Oleh itu, perceraian dianggap sebagai jalan terakhir apabila semua usaha untuk menyelesaikan masalah dalam perkahwinan gagal.

Islam menganggap perceraian sebagai halal tetapi amat dibenci Allah SWT. Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW memberi penekanan kepada penyelesaian konflik dan usaha memperbaiki hubungan sebelum memutuskan perceraian.

Perceraian juga perlu dilakukan dengan cara baik dan adil serta dalam keadaan seeloknya untuk tidak menyakitkan hati pihak lain. Sejak kebelakangan ini, terdapat peningkatan ketara jumlah wanita berdikari termasuk selebriti memfailkan perceraian.

Ini berkait rapat dengan perubahan sosial dan ekonomi berlaku. Wanita lebih berpendidikan dan memiliki sumber kewangan sendiri cenderung menuntut hak mereka dengan lebih tegas.

Mereka tidak hanya bergantung pada pasangan untuk menyara hidup, sebaliknya berani membuat keputusan penting seperti memfailkan perceraian apabila tidak lagi puas hati dalam perkahwinan.


Isteri mungkin menghadapi masalah seperti ketidakserasian dengan pasangan, ketidakpuasan dalam hubungan atau penderaan emosi. Mereka juga mungkin berasa hak dan kepentingan mereka tidak dihormati.

Hukum perceraian dalam Islam memberikan hak kepada isteri memohon cerai jika suami gagal memenuhi tanggungjawabnya atau jika terdapat alasan kukuh seperti penderaan atau kecurangan.

Dalam kes isteri berasa tertekan atau terabai, mereka berhak memfailkan perceraian dan menuntut hak sesuai. Islam menetapkan perceraian harus dilakukan dengan cara baik serta adil dan mahkamah syariah bertanggungjawab memastikan proses ini dilaksanakan mengikut prinsip syariah.

Perceraian membawa kesan besar kepada individu terbabit terutama dari segi emosi dan psikologi. Kesan ini dirasai kedua-dua pihak dan boleh mengakibatkan perubahan dalam struktur keluarga serta hubungan sosial.

Di peringkat masyarakat, perceraian boleh mempengaruhi kestabilan sosial terutama jika ia membabitkan. Anak mungkin mengalami kesulitan menyesuaikan diri dengan perubahan dan memerlukan sokongan mencukupi untuk mengatasi cabaran berkenaan.

Dalam apa juga keadaan, isteri memfailkan perceraian perlu menjaga aib suami dan rumah tangga. Ini termasuk menghindari tindakan balas dendam dan mengelakkan perkongsian di media sosial boleh memburukkan lagi keadaan atau mencemarkan maruah suami.

Begitu juga jika kes perceraian terhadap isteri, penting untuk suami menjaga maruah dan kehormatan masing-masing walaupun berada dalam situasi sukar.

Mengelakkan pendedahan kepada masyarakat luar mengenai isu peribadi dapat membantu proses perceraian berjalan dengan lebih baik dan mengurangkan kesan negatif terhadap pihak terbabit terutama anak selain keluarga pasangan masing-masing.

Secara keseluruhan, trend perceraian dalam kalangan wanita berdikari di Malaysia memerlukan perhatian dan tindakan serius. Dengan memahami aspek hukum agama, undang-undang syariah dan kesan perceraian, masyarakat dapat mengambil langkah proaktif untuk mendepani isu ini.

Meningkatkan kesedaran, menyediakan sokongan diperlukan dan memastikan proses perceraian dilaksanakan dengan adil adalah kunci mengatasi isu ini dan memastikan kesejahteraan individu dan keluarga dalam masyarakat.

Bagi mengatasi isu perceraian terutama wanita mampu hidup sendiri atau berdikari, beberapa langkah boleh diambil. Pertama, pendidikan mengenai hak dan tanggungjawab dalam perkahwinan serta proses perceraian adalah penting.

Ini dapat membantu wanita memahami prosedur dan hak mereka dengan lebih baik sebelum memutuskan untuk memfailkan cerai. Selain itu, sokongan sosial dan kaunseling juga penting untuk membantu individu menghadapi perceraian.

Kaunseling boleh membantu mereka mengatasi cabaran emosi dan menyesuaikan diri dengan perubahan. Program kaunseling pra perkahwinan dan kaunseling keluarga boleh memainkan peranan mencegah perceraian.

Usaha untuk memperbaiki komunikasi dan hubungan dalam perkahwinan melalui kaunseling boleh membantu menghentikan perceraian. Ini termasuk menyediakan platform untuk pasangan berbincang dan menyelesaikan masalah sebelum mengambil langkah terakhir untuk bercerai.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi & Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Ulasan