Muslimat PAS Kelantan sumbang bantuan banjir Kedah




Muslimat PAS Kelantan sumbang bantuan banjir Kedah
October 7, 2024

ALOR SETAR: Khidmat Malaysia Kedah merakamkan penghargaan kepada Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan atas keperihatinan menyampaikan sumbangan bantuan banjir untuk diagihkan kepada mangsa terbabit di Kedah.

Penasihat Khidmat Malaysia Kedah, Senator Ustaz Musoddak Ahmad berkata, sumbangan tersebut secara tidak langsung membantu meringankan Khidmat Malaysia negeri ini untuk menyediakan bantuan kepada mereka yang terjejas.

“Sepanjang tempoh kejadian banjir di Kedah bermula 18 September lalu, Khidmat Malaysia Kedah telahpun membuka Markas Operasi di Markas PAS Pokok Sena, untuk penyelarasan kerja-kerja bantuan banjir.

“Sama ada dalam bentuk agihan sumbangan, makanan, operasi mencuci dan lain-lain,” katanya pada majlis ringkas di Kompleks PAS Kedah, di sini hari ini.

Katanya lagi, gerak kerja sukarelawan Khidmat Malaysia yang dilihat tersusun dan kemas ini, adalah hasil dari latihan diterima sebelum ini menerusi modul dan tadbir urus berkesan.

Namun ujarnya, kemahiran sukarelawan berkenaan perlu ditingkatkan kepada kerja-kerja lebih mencabar seperti unit penyelamat selain dilengkapi dengan peralatan menyelamat yang lengkap.

Sementara itu, Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, dalam ucapannya, mengucapkan tahniah atas kesungguhan sukarelawan Khidmat Malaysia Kedah menabur bakti membantu mangsa-mangsa banjir.

Dalam pada itu, beliau turut bersetuju dengan pandangan Ustaz Musoddak agar sukarelawan Khidmat Malaysia ditingkatkan kepakaran dan kemahiran kepada bidang-bidang yang lebih mencabar khususnya untuk membantu golongan yang memerlukan.

Pada majlis itu, beliau mewakili Dewan Muslimat PAS Kelantan dan Dewan-Dewan PAS Kawasan negeri tersebut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan serta makanan untuk agihan kepada mangsa banjir.

Sumbangan tersebut diterima oleh Pesuruhjaya PAS Kedah yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya.

Turut hadir, Pengarah Khidmat Malaysia Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid dan Ketua Operasi Khidmat Malaysia Kedah, Mohd Saifuddin Hassan serta Penolong Setiausaha PAS Kedah, Ustaz Rosli Azmi, sementara delegasi dari Kelantan turut disertai Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Rohani Ibrahim.

Terdahulu, delegasi berkenaan hadir ke Wisma Darul Aman menyampaikan sumbangan bantuan banjir daripada Kerajaan Negeri Kelantan kepada Kerajaan Negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 7/10/2024

share & sebarkan:

Ulasan