‘Sangat tersentuh hati apa yang diucap Yang Berhormat’



‘Sangat tersentuh hati apa yang diucap Yang Berhormat’
October 21, 2024

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff

KUALA LUMPUR: Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) tidak dapat menahan sebak sewaktu membangkitkan kesusahan rakyat yang sedang berdepan dengan masalah kos sara hidup yang tinggi.

Menurut beliau, realiti yang berlaku menggambarkan situasi yang berbeza jika ingin dibandingkan dengan angka-angka petunjuk ekonomi yang dipaparkan dan dibanggakan kerajaan.

Beliau yang mesra dengan panggilan ‘Kak Lah’ itu menyatakan perkara ini sewaktu mencelah Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

“Sangat tersentuh hati apa yang diucapkan oleh Yang Berhormat (Ketua Pembangkang). Saya sebagai ibu yang berada di kawasan pedalaman yang setiap hari melihat realiti hidup rakyat.

“Apa yang disebut oleh Yang Berhormat itu sebenar-benar itu yang berlaku di bawah. Walaupun kerajaan berbangga dengan angka inflasi 1.9 peratus, sebenarnya rakyat tidak merasai,” katanya.

Jelas Siti Zailah, hakikat yang sebenarnya, kehidupan rakyat di bawah sana semakin berat dan terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Saya ingin merujuk kepada satu akhbar Metro yang telah dikeluarkan pada 24 Ogos 2024 yang menceritakan bagaimana kisah seorang wanita yang dijumpai tidak bermaya di Taman Indah Sungai Abong, Johor.

“Di mana di sisinya ada jasad ayah dan jasad adik OKU yang sudah meninggal dunia kerana kelaparan. Apakah ingin kita lihat dalam negara kita ini ramai lagi rakyat Malaysia yang mati kelaparan ini?” soalnya.

Kata beliau, apa yang berlaku itu adalah satu kezaliman kepada rakyat yang sedang dalam kesusahan.

Terdahulu Hamzah dalam ucapannya membangkitkan tentang sikap kerajaan yang bangga dengan petunjuk-petunjuk ekonomi seperti pencapaian kadar inflasi 1.9 peratus, namun rakyat tidak merasai kesan angka-angka itu.

Beliau dalam ucapannya turut meminta Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan agar mengambil perhatian kesusahan rakyat kerana sukar mendapatkan beras tempatan sedangkan beras import terpaksa dibeli dengan harga yang mahal. – HARAKAHDAILY 21/10/2024

Ulasan