Tak perlu pertikai ‘muka’ siapa, tunai tanggungjawab



Tak perlu pertikai ‘muka’ siapa, tunai tanggungjawab
October 8, 2024


ALOR SETAR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya beliau juga yang diharapkan untuk mengurus banjir di Kedah, adalah tidak wajar sama sekali mengungkap demikian.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata, dalam sebarang keadaan, Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab terdapat negeri-negeri di bawahnya.

“Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab kepada seluruh negeri dalam Malaysia, tak kiralah negeri itu ditadbir oleh parti sama atau tidak. Tanggungjawab tetap ada,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Kedah, semalam.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu menegaskan, pemimpin negara juga perlu mengamalkan sikap Federalisme terhadap negeri-negeri, selain tanggungjawab pemimpin negeri terhadap rakyatnya masing-masing.

Jelasnya, dalam pemerintahan sesebuah negeri mahupun negara, Perdana Menteri atau Menteri Besar mempunyai legasi kuasa masing-masing, seperti juga para Menteri dan Exco Kerajaan Negeri.

“Ikut dari segi tanggungjawab itu tidak wajarlah Perdana Menteri bercakap begitu, tetapi boleh jadi melawak (bergurau)…. tetapi melawak tak kena tempat dan masa,” ujarnya lagi.

Anwar secara sinis dipercayai membidas Kerajaan Negeri Kedah apabila berkata, “Banjir pun tak terurus. Muka ini juga nak kena pergi tolong di Kedah” dalam satu ucapan dalam majlis politik di Ibu Negara, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff senada dengan pandangan Takiyuddin di mana katanya, setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab kepada setiap orang dipimpinnya, apatah lagi Perdana Menteri.

“Tak sepatutnya beliau (Anwar) bercakap seperti itu sebab dia ibarat bapa dalam kerajaan. Apa jua, bencana dan masalah dia kena ambil tahu bukan mempersoalkan, ‘muka ini muka itu’, tetapi lebih besarnya adalah tanggungjawab,” bidas beliau.

Tegas Zailah lagi, Perdana Menteri kerajaan sebelum ini juga ada yang turun padang apabila berlaku musibah di mana-mana negeri dalam Malaysia.

Malah, pihaknya bersama Ahli-Ahli Parlimen lain juga turun ke negeri-negeri seperti Kedah, Selangor dan lain-lain apabila berlaku musibah banjir untuk membantu.

“Tetapi kami tidak pernah sebut, ‘muka ini juga yang datang tolong’ walaupun ke negeri yang tidak sama aliran politik, tetapi kita bantu atas dasar tanggungjawab,” tambah beliau lagi.

Berikutan itu, beliau mengharapkan agar rakyat Malaysia dapat menilai manakah pemimpin yang benar-benar ikhlas membantu rakyat terutama di waktu musibah.

Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan ditemui pada kunjungannya ke Kompleks PAS Kedah menyampaikan sumbangan bantuan banjir daripada dewan berkenaan kepada Khidmat Malaysia Kedah.

“Seharusnya dalam keadaan musibah ini, tidak perlulah mengambil kesempatan untuk memburuk mana-mana pihak, yang penting berganding bahu sama ada bersama agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain.

“Untuk sama-sama bantu mangsa-mangsa banjir yang sangat memerlukan dalam keadaan cemas begini,” tegas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 8/10/2024

Ulasan