100,000 pelancong dijangka lawat Dabong


100,000 pelancong dijangka lawat Dabong
PERKHIDMATAN kereta api ke Dabong, Kuala Krai, Kelantan menjadi salah satu tarikan pelancongan di Dabong. –UTUSAN/KAMARUL BISMI KARUZAMAN
Oleh MUSTAQIM MOHAMED
20 November 2024, 7:00 am


KOTA BHARU: Lebih 100,000 pelancong dari dalam dan luar negeri ini dijangka berkunjung ke Dabong, Kuala Krai untuk melihat keindahan alam semula jadi sehingga Disember sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK 2024).

Bercakap kepada Utusan Malaysia Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kese­nian dan Warisan negeri Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, sepanjang Januari hingga Oktober, lebih 90,000 berkunjung ke Dabong untuk melihat keindahan alam semula jadi.

“Bilangan pelancong yang mengunjungi Gua Ikan direkodkan melebihi 90,000 orang sehingga Oktober tahun ini berbanding 80,000 pengunjung pada tahun lepas.

“Melihat kepada situasi itu, kita menjangkakan jumlah kehadiran ke Dabong tahun ini, boleh mele­bihi 100,000 orang,” katanya.

Dabong sebelum ini merupakan kawalan hulu Kelantan yang agak terpencil namun menjadi popular sekelip mata gara-gara perkhidmatan kereta api selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

Situasi itu memberikan rahmat buat penduduk setempat apabila kedatangan pelancong membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.


Dalam perkembangan lain, Kamarudin memberitahu, kerajaan negeri akan melancarkan Taman Geologi Stong (Stong Geopark) merangkumi Gunung Stong dan Kompleks Gua Ikan tahun hadapan selepas diiktiraf sebagai Geo­park Kebangsaan kelapan pada 14 November 2022 lalu.

Katanya, ia dibuat selepas semua kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan siap.

Ulasan