26 konsert tempah Stadium Hoki Nasional?
Pasukan Malaysia Tigers meraikan kemenangan selepas menewaskan Malaysia Speedy menerusi penentuan pukulan penalti pada perlawanan separuh akhir Piala Mirnawan 2024, di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Oleh FADHILUL IZMEL ISHAK
21 November 2024, 8:00 am
PETALING JAYA: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyuarakan rasa bimbang berhubung kualiti padang dan latihan skuad kebangsaan apabila difahamkan sebanyak 26 konsert akan dianjurkan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil tahun depan.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal menegaskan, jumlah penganjuran konsert yang terlalu tinggi di venue tersebut pastinya merencatkan perancangan pasukan hoki kebangsaan lelaki, wanita dan skuad remaja.
Kebimbangan itu dizahirkan oleh Subahan berikutan pelbagai kejohanan dan pusingan kelayakan yang bakal disertai oleh pasukan hoki kebangsaan tahun depan.
“Saya difahamkan sebanyak 26 konsert akan dianjurkan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 2025. Bukan nak hentam tetapi sebagai presiden memang patut saya berasa bimbang jika tidak nanti, orang akan cakap presiden senyap sahaja.
“Memang patut saya berasa risau kerana semua latihan diadakan di sini namun kami tiada pilihan kerana stadium ini bukan milik kami tetapi 26 konsert itu jumlah terlalu banyak. Apabila konsert diadakan mesti rosak permukaan padang. Sebulan akan ada berapa konsert?
“Sekali penganjuran konsert diadakan stadium akan ditutup selama seminggu dan jika 26 konsert diadakan bermakna 26 minggu kami tidak dapat menggunakan stadium ini. Dalam setahun ada 52 minggu dan itu bermakna ia sudah separuh tahun,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Subahan turut memberitahu jika penganjuran konsert diadakan di stadium tersebut bermakna skuad hoki kebangsaan terpaksa menjalani sesi latihan di Stadium Hoki Tun Razak atau Stadium Hoki Kuala Lumpur selain menghadapi kesukaran untuk menganjurkan kejohanan.
“Tiada pilihan, kami kena ikut juga. Ini bukan stadium kami. Penganjuran 26 konsert itu nanti pastinya mengganggu latihan pasukan negara,” katanya.
Tahun hadapan bakal menyaksikan skuad hoki kebangsaan melakukan persiapan bagi mengharungi Piala Asia iaitu kelayakan Piala Dunia Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda serta Sukan SEA 2025 di Thailand.
Skuad senior lelaki akan menghadapi Piala Sultan Azlan Shah dan Kejohanan Piala Negara-Negara. Bagi skuad junior pula mereka bakal menyertai Piala Dunia Remaja dan Piala Sultan Johor (SOJC) pada tahun berkenaan. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan