‘Jangan angan-angan dan mulut manis sahaja’



‘Jangan angan-angan dan mulut manis sahaja’

Program kerajaan mesti berikan impak berkesan kepada rakyat
November 25, 2024


SHAH ALAM: Jawatankuasa audit sangat penting untuk memastikan program-program negeri dilaksanakan dengan berkesan dan memberi impak yang sebenar kepada rakyat.

Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) berkata, peruntukan bagi 2024 dan 2025 yang kekal sama menunjukkan tiada perubahan yang signifikan dalam aktiviti audit dalaman.

“Saya berpendapat bahawa kerajaan harus bertindak lebih aktif untuk memperluaskan aktiviti audit ini kepada lain-lain item dan produk, khususnya produk kebajikan negeri supaya ia menjadi begitu berkesan kepada rakyat.

“Saya ambil contoh apabila jawatankuasa audit telah memberikan maklum balas mengenai produk Skim Insurans Hayat Selangor (Insan). Maka terbuka mata kita betapa perlunya kerajaan melihat dan menilai semula produk khususnya yang diuar-uarkan sebagai bagus dan baik itu.

“Ini supaya dia (kerajaan negeri) tidak hanya berada di sekitar angan-angan ataupun manis mulut sahaja tapi implikasinya atau kesan baiknya tidak sampai kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan Selangor 2025 peringkat jawatankuasa di Persidangan Dewan Negeri Selangor, di sini hari ini.

Justeru, beliau berpandangan agar Kerajaan Negeri tidak mengekalkan jumlah itu kepada audit dalaman kerana jawatankuasa ini penting untuk memastikan program Selangor dapat memberikan manfaat kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 25/11/2024

Ulasan