Jangan salah faham dan terlalu manja, zaman dahulu lebih mencabar – Belle Ngasri
Oleh FATIN NURAIN MUSTAFFA KAMAL
20 November 2024, 5:39 pm
KUALA LUMPUR: Di saat isu buli antara pelakon senior dan junior kekal hangat menjadi bualan, aktor, Belle Ngasri berharap pelapis baharu memandang perkara itu dari sudut yang positif.
Menurut Belle atau nama lengkapnya Nasrizal Ngasri, 44, penggiat seni suatu ketika dahulu pernah dididik lebih mencabar sehingga menjadikan mereka pelakon yang berkualiti.
“Jangan salah faham, bukan membuli. Mungkin itu salah satu proses mengajar. Artis zaman dahulu dididik lebih teruk.
“Sebagai artis yang berlakon dari kecil sehingga kini, pelbagai pengalaman yang saya sudah lalui. Dimaki, dimarah dan dilempang, itu lebih teruk. Saya juga menganggap itu proses belajar dan cabaran.
“Sebelum ini, saya pernah cerita tentang saya tetap perlu hadir ke lokasi penggambaran walaupun baru lepas kemalangan. Sekiranya saya tidak pentingkan diri, saya boleh menyebabkan kerugian belanja, masa dan tenaga ramai pihak yang sudah ada di lokasi penggambaran itu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bintang Paling Popular edisi ke-35 itu juga berpendapat populariti yang diraih oleh kebanyakan pelapis baharu membuatkan mereka tidak berdaya tahan untuk berdepan dengan cabaran dalam industri lakonan.
“Pengarah zaman dulu lebih tegas. Berbeza cara bekerja dahulu dan sekarang. Mungkin juga kerana artis sekarang lebih dikenali kerana platform yang mereka miliki, mereka manja.
“Sekiranya, rasa mahu berlakon, lakukan sepenuh hati. Tidak perlu terima tawaran sesebuah naskhah sekiranya tidak menepati kehendak diri,” jelasnya.
Belle berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran produk Sambell’s, di sini, malam tadi.
Tambah Belle, dia berharap agar pihak pengarah dan produksi perlu lebih bijak dalam memilih wajah yang bakal membintangi drama dalam sesebuah naskhah supaya dapat memenuhi kehendak dan keperluan watak.
“Pada saya, orang yang mengajar pun perlu bertoleransi. Sekiranya perlukan pelakon yang boleh penuhi kehendak watak cari orang yang tepat.
“Jangan disebabkan pelakon baharu itu ada pengikut yang ramai, awak harap lakonannya seperti Zul Ariffin. Semua itu perlu dipertimbangkan semula,” jelasnya.
Mengulas mengenai Sambell’s, Belle kini melebarkan kerjayanya dalam bidang perniagaan yang menjual sambal gepuk, hasil kerjasama bersama beberapa rakan sekolahnya. -UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan