Kenapa pakai ketimbang, bukan berbanding?



Kenapa pakai ketimbang, bukan berbanding?
KITA sepatutnya merujuk kepada pakar-pakar bahasa atau merujuk kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang bahasa.
Oleh Mohd Noor Yazid
4 November 2024, 8:00 am

DATUK Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang tidak asing dalam perjuangan memartabat dan pengkayaan bahasa Melayu.

Ini adalah selaras dengan latar belakang pendidikannya sebagai graduan bidang pengajian Melayu dan presiden persatuan bahasa Melayu Universiti Malaya.

Arus perjuangan bahasa yang ada dalam jiwa beliau terus menyinar dan tidak pernah padam, walaupun kini memegang jawatan pimpinan tertinggi pentadbiran negara, sebagai seorang perdana menteri.

Dalam kesibukannya sebagai perdana menteri perjuangan dan pengkayaan bahasa Melayu terus mengalir dalam darah dan jiwanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada hari Jumaat, 18 Oktober 2024 lalu beliau menggunakan satu kata sendi baharu dalam ucapan belanjawannya iaitu “ketimbang.”

Perkataan kata sendi ini adalah satu kata sendi baharu yang belum atau jarang digunakan dalam masyarakat Malaysia. Perkataan yang jarang atau belum pernah digunakan secara meluas tidak bermakna ia tidak wujud.


Dalam menyelusuri bahasa Melayu, kita tidak hanya tertakluk kepada bahasa Melayu di Malaysia semata-mata, tetapi juga di rantau Melayu Nusantara (khususnya di Malaysia, Indonesia, Brunei dan juga Selatan Thai).

Apabila diteliti dengan mendalam perkataan kata sendi ketimbang ada terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia (KBBI).

Ketimbang mengikut KBBI adalah satu kata hubung (atau kata sendi), bermaksud dibandingkan dengan sesuatu, (berbanding) dengan daripada.

Bahasa Melayu Malaysia dan bahasa Indonesia adalah mempunyai hubungan yang sangat rapat dan saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain.

Penggunaan kata sendi ketimbang yang digunakan oleh Anwar dalam ucapan Belanjawan 2025 pada Jumaat, 18 Oktober lepas adalah tepat sekali dan tidak ada apa cacatnya.

Perbandingan tentang kedudukan dolar AS dalam tempoh masa yang dinyatakan adalah tepat. Perkataan ketimbang yang digunakan oleh Anwar adalah sangat tepat.

Penggunaan ketimbang oleh Perdana Menteri itu memberikan kesan yang lebih tegas dan secara langsung dalam membuat perbandingan.

Mereka yang tidak memahami dan mendalami bahasa Melayu dengan mendalam serta tidak faham tentang sosio-bahasa dan rencam budaya akan mudah membuat tafsiran mudah tidak berasas yang tidak tepat serta mengelirukan.

Kenyataan ahli politik pembangkang yang mentafsirkan makna perkataan ketimbang dengan “kencing, tipu dan sembang” adalah tidak berasas sama sekali.

Tafsiran lantang dan bersifat emosi begini dan tidak berasaskan kepada sumber yang akademis sifatnya harus dielakkan. Tindakan begini tidak membawa kita ke mana-mana.

Walaupun kita tidak sehaluan pada pandangan dan berbeza pegangan falsafah politik, tetapi dalam persoalan bahasa dan yang ada kaitannya dengan asas ilmu bahasa dan akademik serta tamadun bangsa, kita mesti bersifat jujur.

Kita boleh berdebat tentang apa sahaja tentang apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan jika difikirkan tidak betul, tetapi asas dan faktanya mestilah tepat.

Jangan menghentam sesuatu hanya atas dasar “perasaan dan semangat yang tidak berasas” yang tidak ada asas (hanya semata-mata kerana kebencian dan perbezaan fahaman dan falsafah politik semata-mata). Sifat begini membuatkan kita tidak boleh maju ke depan.

Dalam persoalan perkataan sendi ketimbang yang diucapkan oleh Anwar ini yang sepatutnya dilakukan dengan tindakan ilmiah, bukannya hentaman semberono tanpa asas.

Kita sepatutnya merujuk kepada pakar-pakar bahasa (pensyarah/profesor bahasa di universiti) atau merujuk kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mempunyai pengetahuan mendalam tentang bahasa.

Inilah proses yang perlu dilakukan iaitu bertanya/merujuk kepada pihak yang lebih mempunyai maklumat dan autoriti yang sah.

Tindakan tepat dan segera telah dilakukan oleh pihak DBP pada 25 Oktober 2024 di mana perkataan ketimbang akan dimasukkan ke dalam Kamus Dewan DBP (edisi kedua) sebagai “kata sendi nama yang bermaksud menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu.



Perkataan ketimbang dianggap sebagai satu perkataan yang relevan dalam bahasa Melayu moden.

Ini adalah satu perkembangan dan penambahan baharu dalam bahasa Melayu Malaysia.

Perkembangan yang sama perlu berlaku sebelum ini dalam menambahkan perkataan-perkataan baharu dalam bahasa Melayu Malaysia.

Pada peringkat permulaan ia sesuatu perkataan yang baharu digunakan itu nampak janggal tetapi menjadi biasa dan penerimaan yang menyeluruh selepas beberapa ketika serta digunakan secara meluas dengan sempurna tanpa sebarang kecacatan pun.

Sebelum ini pun Anwar pernah memperkenalkan perkataan-perkataan baharu seperti “mampan, alaf, mantan, telus, tata kelola” dan seumpamanya.

Penulis berpendapat perkataan ketimbang adalah tidak mempunyai apa-apa salahnya.

Percayalah, nanti ia akan digunakan dengan meluas dalam penggunaan ayat dalam membuat perbandingan langsung dengan lebih tegas dan jelas maknanya.

Harus diingat bahawa bahasa adalah suatu yang hidup dan bersifat dinamik serta tidak bersifat statik.

Semua bahasa di dunia mengalami perubahan ini dan tiada satu bahasa pun yang bersifat statik dan tidak berubah.

Ia berubah dan berkembang mengikut peredaran masa. Kadang-kadang perkataan baharu itu disadur dan disesuaikan daripada bahasa asing.

Banyak daripada perkataan bahasa Melayu daripada bahasa asing seperti Portugis, Inggeris dan Arab.

Ia bukan satu kesalahan bahkan menambahkan kekayaan perbendaharaan bahasa Melayu.

Apatah lagi kalau perkataan baharu (seperti ketimbang) yang memang ada dalam perbendaharaan bahasa rumpun kita Nusantara (sebagaimana yang tercatat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia).

Kita sepatutnya meneroka dan menggali lebih banyak perkataan dan khazanah bahasa serumpun kita, supaya bahasa kita lebih kaya.

Usaha Anwar yang selalu memperkenalkan perkataan-perkataan baharu adalah satu yang harus dipuji.

Pemimpin-pemimpin lain juga harus menjadikan apa yang dilakukan oleh Anwar ini sebagai satu contoh tauladan yang baik dalam mengembangkan lagi bahasa kebangsaan kita.

Kita tidak sekali-kali menafikan pentingnya bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, tetapi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti dikembangkan dan dimartabatkan selaraskan dengan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara iaitu berperanan besar sebagai alat perantaraan dan bahasa perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum adalah sangat penting.



Apa pun aspek kemajuan dan perkembangan yang berlaku dalam negara (seperti kemajuan ekonomi dan teknologi) bahasa adalah asas yang penting sebagai dasar yang menjamin kestabilan dan kesejahteraan umum.

Porak peranda dan kucar-kacirnya bahasa utama negara, kesan negatifnya tercalar ke merata. Sama-sama kita menjaga dan terus membina bahasa kebangsaan kita.

Tahniah dan Syabas kepada Anwar yang selalu berjuang, membina dan mengukuhkan bahasa Melayu! – UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan, Kluster Pembangunan dan Etnografi di Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu.

Ulasan