Patutkah perjuang kegiatan judi yang merosakkan?




Patutkah perjuang kegiatan judi yang merosakkan?
November 2, 2024


TANJONG KARANG: Kegiatan perjudian yang ternyata banyak menyumbang kepada keruntuhan akhlak masyarakat dan masalah dalam masyarakat bukanlah suatu hak dan patut diperjuangkan.


Ahli Dewan Undangan Negeri( ADUN) Sungai Burong, Ustaz Dr Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkata, Kerajaan Negeri Kedah telah pun mengharamkan semua premis perjudian dalam negerinya.

“Namun demikian, ada parti politik yang tampil ke hadapan menyerang tindakan tersebut dengan alasan kononnya menyekat hak kebebasan masyarakat bukan Islam.

“Adakah berjudi yang menyumbang kepada keruntuhan akhlak dan institusi kekeluargaan itu satu hak?” soalnya dalam satu video bertajuk Islamophobia yang dimuat naik di Facebook beliau.

Menurut Dr Zamri, agama Islam bukan sahaja mengharamkan judi tetapi juga bertanggungjawab memastikan masyarakat di bawah pengurusannya tidak mengamalkan sebarang kegiatan yang merugikan.

Tambah beliau, perkara sebegini termasuklah terhadap masyarakat bukan Islam itu sendiri.

“Maka, saya ingin bertanya iaitu melampau ke kerajaan negeri bertindak sedemikian atau sebenarnya melindungi kepentingan semua kaum?

“Begitu juga dalam soal arak yang mana kerajaan negeri di bawah PAS tidak mengharamkan terus penjualan arak dan mengiktiraf hak masyarakat bukan Islam mengenai perkara tersebut.

“Apa yang berlaku adalah kawalan terhadap penjualan air arak itu sendiri supaya hanya boleh diminum oleh masyarakat bukan Islam dan tidak dipromosikan kepada masyarakat Islam,” ujarnya.

Ketua Ulamak PAS Negeri Selangor ini turut menyatakan bahawa masih terdapat pihak yang menjaja pemikiran Islamophobia dilakukan oleh sesetengah parti politik.

Kata beliau lagi, pemikiran tersebut adalah jelas tidak berasas memandangkan kehidupan masyarakat bukan Islam di negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS tidak diganggu.

“Semua orang tahu bahawa semua masyarakat bukan Islam di bawah negeri-negeri PAS mempunyai kebebasan dalam mengamalkan adat mereka.

“Maka, rakyat sendiri boleh menilai mengenai perkara tersebut dan jangan termakan dengan naratif-naratif buruk yang dibawa oleh sesetengah parti,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2024

Ulasan