Pencemaran udara: India denda 60,000 pemilik kenderaan
Oleh Wartawan Luar Negara
4 November 2024, 3:34 pm
NEW DELHI: Pihak berkuasa di ibu negara India dan kawasan sekitarnya mengenakan denda terhadap beribu-ribu pemilik kenderaan serta tapak pembinaan kerana melanggar peraturan pencemaran.
Tindakan itu adalah sebahagian usaha untuk menangani kemerosotan kualiti udara dalam tempoh tiga minggu lalu.
New Delhi kini menjadi bandar utama paling tercemar di dunia, menurut IQAir.
Pegawai berkata, hampir 60,000 kenderaan dan lebih 7,500 tapak pembinaan dikenakan denda, apabila Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat (CPCB) menilai keadaan hari ini sebagai ‘sangat teruk’.
Suruhanjaya Pengurusan Kualiti Udara berkata, sebanyak 54,000 kenderaan tidak mempunyai sijil Kawalan Pencemaran (PUC), yang menunjukkan tahap pelepasan dibenarkan, dengan 3,900 lagi kenderaan disita.
Pembayaran pampasan alam sekitar dikenakan untuk 597 tapak, manakala 56 diarahkan untuk ditutup.
New Delhi berdepan pencemaran teruk setiap musim sejuk apabila udara memerangkap pelepasan asap dan debu daripada kebakaran ladang di negeri pertanian bersebelahan Punjab dan Haryana, memaksa penutupan sekolah serta sekatan pembinaan.
Kementerian Sains Bumi berkata, kualiti udara di rantau itu dijangka kekal ‘sangat buruk’ sehingga 6 November.
IQAir menilai New Delhi sebagai ibu negara paling tercemar di dunia selama empat tahun berturut-turut, tetapi kualiti udara yang buruk merupakan masalah biasa pada musim sejuk di seluruh Asia Selatan.- REUTERS
Ulasan
Catat Ulasan