Tambah baik sistem pemantauan pastikan GLC, GLIC bebas 'tipu daya'


Tambah baik sistem pemantauan pastikan GLC, GLIC bebas 'tipu daya'
Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed - November 12, 2024 @ 11:26am
Kontroversi membabitkan tadbir urus beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) baru-baru ini membuktikan terdapat banyak ruang penambahbaikan perlu dilakukan supaya pengurusan dana awam lebih cekap, berhemat dan memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Secara prinsipnya sudah ada keperluan mendesak untuk kerajaan menambah baik dan meningkatkan proses pemantauan terhadap amalan tadbir urus dan tatakelola GLC dan GLIC. Beberapa langkah penting boleh dilaksanakan seperti meneliti semula proses pelantikan Ahli Lembaga Pengarah sedia ada.

Dalam hal ini, kerajaan perlu memastikan hanya individu memiliki pengetahuan, pengalaman dan kemahiran sewajarnya saja dipilih serta dilantik supaya mereka tahu apa diperlukan organisasi seterusnya mampu bertindak secara profesional mencapai matlamat masing-masing.

Hakikatnya, gabungan kelompok profesional dan pakar bidang bersama ahli politik membawa aspirasi rakyat memiliki integriti tinggi mampu memacu amalan tadbir urus dan tatakelola yang baik.

Kedua, perlu dipastikan sistem pengauditan dalaman dan pihak ketiga dilakukan dengan cekap, efisien, bebas dan berkecuali. Unit audit dalam setiap GLC dan GLIC perlu berfungsi dengan cekap dan diberikan kuasa autonomi secukupnya untuk melakukan aktiviti pencegahan dan penguatkuasaan tanpa halangan, sekatan mahupun gangguan.

Syarikat juga perlu melantik firma pengauditan luar bertauliah bagi mengukuhkan lagi aspek tadbir urus. Hasil dapatan, teguran dan cadangan penambahbaikan dikemukakan pihak audit dalam dan luar perlu dipandang serius, diambil tindakan segera supaya pengurusan dana awam sentiasa berada di landasan betul.


Jabatan Audit Negara juga sudah diberikan kuasa dan peranan lebih besar untuk memulakan pengauditan terhadap hampir 2,000 syarikat dan entiti menerima peruntukan dan jaminan kerajaan terutamanya GLC dan GLIC.

Inisiatif ini pastinya akan membantu syarikat kerajaan diurus mengikut mandat sebenar khususnya demi kesejahteraan ekonomi rakyat dan pembangunan negara.

Ketiga, kerajaan perlu memantau dan memastikan GLC dan GLIC mencapai hala tuju dan petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan. Walaupun pengoperasian syarikat diuruskan Ahli Lembaga Pengarah sepenuhnya namun sudah tiba masanya kerajaan meningkatkan proses kawalan dan pemantauan terhadap tindakan mereka dalam mencapai KPI tersebut.

Kuasa diberikan kepada Ahli Lembaga Pengarah dari segi pemberian bonus, insentif serta penetapan hala tuju dan cadangan pelaburan atau perniagaan perlu diteliti supaya ada unsur kawalan kerajaan.

Ahli Lembaga Pengarah wajar melaksanakan proses penilaian wajar mencakupi semakan terhadap latar belakang perniagaan atau syarikat serta prospek perniagaan sebelum keputusan pelaburan berisiko tinggi dibuat.

Keempat, sudah ada keperluan mewujudkan Jawatankuasa Parlimen Khas untuk meneliti pengoperasian dan pencapaian prestasi GLC dan GLIC supaya proses pemantauan serta semak dan imbang dapat dilakukan secara terbuka lagi telus.

Paling tidak sediakan platform lebih luas kepada Jawatankuasa Parlimen dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk bertindak dengan cepat dan pantas bagi menangani sebarang permasalahan tadbir urus dalam syarikat kerajaan.

Kelima, tanggungjawab dan akauntabiliti Ahli Lembaga Pengarah perlu ditingkatkan supaya sentiasa melaksanakan tugas dengan dedikasi, amanah dan meletakkan kepentingan awam pada kedudukan paling tinggi.

Mana-mana Ahli Lembaga Pengarah didapati cuai, tidak amanah dan mengambil kesempatan perlu dikenakan tindakan yang setimpal supaya menjadi peringatan kepada yang lain.

Keenam, penulis menyokong saranan Minda Pengarang akhbar ini supaya semua entiti dan agensi kerajaan, syarikat korporat mahupun pertubuhan memberi keutamaan kepada aspek tadbir urus kukuh berteraskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Tuntasnya, organisasi mempraktikkan program ESG dengan berkesan akan menjadi organisasi lebih beretika dan mampan kerana sentiasa mengutamakan proses pembuatan keputusan benar, adil dan jujur.

Amalan ESG mampu mencegah dan menghalang sebarang kemungkinan ketirisan dan penyelewengan yang boleh berlaku dalam organisasi.

Penulis ialah Timbalan Pendaftar, Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia

Ulasan