TIS 2024 kecam genosid di Palestin
November 23, 2024
Dr Mohd Hanif ketika mengisytiharkan resolusi Terengganu International Summit 2024.
KUALA TERENGGANU: Terengganu International Summit (TIS) 2024 yang berakhir hari ini mengecam pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Israel ke atas penduduk Gaza di Palestin.
Perkara ini adalah antara lima resolusi yang dipersetujui sepanjang persidangan sehari itu berlangsung. Pengisytiharan resolusi disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Prof Madya Dr Mohd Hanif Yaacob.
Dr Mohd Hanif berkata, persidangan juga menghargai Sidang Kemuncak dan Forum Islam serta antarabangsa yang telah menyuarakan kebimbangan serta mengusahakan inisiatif strategik untuk menangani genosid di Gaza, konflik dunia dan Islamofobia.
“Kami, masyarakat sivil dari Malaysia, Rusia, Oman, Turkiye, Filipina, Indonesia dan Palestin mengiktiraf usaha multilateral seperti Sidang Kemuncak PBB, CoP dan ESG.
“TIS turut mengiktiraf kepentingan platform serantau dan multilateral yang sedang berkembang seperti ASEAN dan BRICS. Di samping itu, sidang kemuncak ini mengiktiraf dunia multipolar yang pesat dengan inovasi teknologi dan usaha kerjasama,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Mohd Hanif berkata, TIS bercadang untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan agar usaha itu dapat dicapai.
Katanya, ini termasuk menubuhkan Majlis Kepimpinan untuk Kesatuan dan Solidariti Ummah bagi memupuk kerjasama, persefahaman dan visi bersama antara pemimpin pelbagai sektor.
“Ini penting untuk melatih pemimpin dalam penyelesaian konflik, rundingan dan pengurusan projek berdasarkan nilai Islam dan etika kepimpinan,” kataya.
Beliau berkata, konflik dalaman juga perlu diurus secara berkesan dengan meningkatkan toleransi dan kerjasama antara mazhab dalam menangani cabaran bersama.
“TIS mencadangkan agar dialog dan kerjasama antara pemimpin Sunni dan Syiah diperluaskan supaya umat Islam dapat bersatu dan menentang ketidakadilan,” katanya.
Selain itu, katanya seluruh peserta TIS 2024 bersetuju agar tindakan boikot terus dilakukan termasuk terhadap firma pelaburan global, BlackRock dan entiti lain yang terlibat membantai rakyat Palestin.
“Kita menggalakkan negara Islam yang kuat dari segi ekonomi untuk membuat pelaburan di negara yang kurang membangun sebagai langkah penting ke arah kesatuan ummah,” katanya. – TRDI
Ulasan
Catat Ulasan