Tubuhkan pusat sisa kimia bersepadu di Johor
Ekoran sering berdepan isu pencemaran
November 12, 2024
KUALA LUMPUR: Johor sekali lagi dihadapkan dengan isu pencemaran alam sekitar, mengulangi sejarah Sungai Kim Kim pada 2019 apabila insiden baru berkaitan pencemaran bahan kimia kembali menjejaskan negeri ini, termasuk menutup tiga buah sekolah pada September lalu.
Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) sehubungan itu mencadangkan kerajaan mengkaji penubuhan pusat pelupusan sisa kimia bersepadu yang lengkap dengan kemudahan rawatan sisa buangan mesra alam.
“Langkah ini bukan sahaja untuk mengurus semua sisa buangan kimia terjadual secara lebih cermat dan teratur, tetapi juga mengurangkan kos penghantaran sisa ke pusat pengurusan yang lebih jauh,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan di Dewan Rakyat hari ini.
Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, semua premis pengurusan sisa telah diluluskan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan dilengkapi teknologi terkini yang memenuhi standard kualiti alam sekitar.
“JAS juga memantau premis-premis ini secara berkala bagi memastikan operasinya selamat,” ujarnya.
Pada soalan asal, Muhammad Islahuddin meminta pihak kementerian menyatakan langkah pencegahan yang diambil ekoran insiden penutupan tiga buah sekolah di Johor pada September lalu.
Ia selepas terdedah dengan pencemaran bau kimia pada September
lalu serta tindakan pemantauan yang dijalankan bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang. – HARAKAHDAILY 12/11/2024
Ulasan
Catat Ulasan