ADUN lega dapat temui mangsa-mangsa kepala air



ADUN lega dapat temui mangsa-mangsa kepala air
December 4, 2024


KUALA KRAI: ADUN Guchil, Hilmi Abdullah menyantuni mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di SK Kampung Tengah yang telah diselamatkan pasukan keselamatan beberapa hari lepas.

Skuad Bantu Kuala Krai, Bomba dan Penyelamat dan Agensi Pertahanan Awam (APM) menyelamatkan penduduk yang terlibat dengan kepala air di Sungai Mas dalam operasi kecemasan mereka selepas air sungai naik mendadak ketika itu.

Hilmi melahirkan rasa syukur memandangkan kesemua 133 orang mangsa dari 48 keluarga begitu tenang berada di PPS berkenaan ketika menyantuni mangsa berkenaan, kelmarin.

“Alhamdulillah, para mangsa kelihatan gembira walaupun ini merupakan kali pertama mereka terpaksa berpindah ke PPS sejak kejadian banjir besar pada tahun 2014,” ujarnya.

“Pada mulanya, PPS ini hanya menempatkan tujuh keluarga sahaja sebelum kejadian kepala air di Sungai Mas yang menyebabkan banjir mendalam,” ujarnya lagi.

Hilmi dan isteri turut mengagihkan sedikit barangan keperluan dapur kepada penduduk di penghujung sempadan Dun Guchil, iaitu Kampung Dusun Nyiur.

Menurutnya, kampung ini agak terpencil, terletak di dalam Estate Batu Mengkebang, yang telah terputus hubungan akibat banjir.

Jelasnya, beberapa jalan yang menghubungkan kampung tersebut dengan kawasan lain ditenggelami air menyebabkan kawasan terbabit sudah empat hari terkepung.

“Pada banjir 2014, lebih 30 buah rumah di Kampungg Dusun Nyiur telah dihanyutkan, namun sebuah NGO, Ground Zero, yang diterajui oleh Tan Sri Syed Zainal dan Maybank Islamic, telah membantu membina semula rumah untuk penduduk di sini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/12/2024

Ulasan