Bashar Al-Assad bakal iringi Firaun ke neraka?



Bashar Al-Assad bakal iringi Firaun ke neraka?
Oleh Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz
13 Disember 2024, 7:45 am

Dunia dikejutkan berita kejatuhan rejim zalim Bashar al-Assad di Syria. Siapa sangka sebuah rejim yang berkuasa lebih 50 tahun akhirnya jatuh tersungkur menyembah bumi.

Pastinya bangkai rejim zalim ini tidak akan dipasang nisannya kerana tiada manusia normal mahu mengingati derita 50 tahun yang ditinggalkan rejim tersebut.

Benarlah firman Allah! Jatuh bangun sesebuah empayar berada dalam kehendak-Nya:
قُلِ اللَّهُمَّ مَالِكَ الْمُلْكِ تُؤْتِي الْمُلْكَ مَنْ تَشَاءُ وَتَنْزِعُ الْمُلْكَ مِمَّنْ تَشَاءُ وَتُعِزُّ مَنْ تَشَاءُ وَتُذِلُّ مَنْ تَشَاءُ بِيَدِكَ الْخَيْرُ إِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (26)
Ertinya: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas setiap sesuatu.” (Ali ‘Imran 3:26).

Dinasti al-Assad yang diasaskan Hafez al-Assad sudah lama menjerut leher rakyat Syria dengan pemerintahan kuku besi mereka.

Antara jenayah besar mereka ialah pembunuhan beramai-ramai di bandar Hama pada 1982 yang mengorbankan lebih 20,000 orang. Juga jenayah serangan bom kimia ke atas penduduk Ghouta yang berlaku pada 2013.

Itu belum lagi penangkapan tanpa bicara ramai rakyat Syria yang dianggap menentang kerajaan.

Antara kejutan lain susulan kejatuhan rejim zalim ini ialah pembebasan ratusan banduan yang ditangkap oleh rejim Bashar di penjara Saydnaya.

Penjara ini boleh disifatkan sebagai neraka dunia yang sangat mengerikan dengan banduan berdepan pelbagai siksaan menjangkau perikemanusiaan.

Membaca perihal seksaan rejim zalim ini terhadap rakyatnya sendiri menjadikan saya faham kerisauan malaikat dengan sifat manusia yang suka melakukan kerosakan dan menumpahkan darah sejurus pengumuman oleh Allah untuk melantik manusia sebagai khalifah di bumi (al-Baqarah 2:30). Benar! Manusia boleh menjadi lebih jahat dari binatang apabila berada di puncak kuasa.

Fungsi penjara sebagai kurungan pelaku jenayah atau pejuang yang dilabel sebagai pesalah oleh pemerintah zalim bukanlah perkara baharu.

Ia adalah warisan purba sejak zaman Firaun lagi. Ketika berasa terancam dengan dakwah Nabi Musa AS yang semakin berkembang, Firaun melontarkan ancaman:
قَالَ لَئِنِ اتَّخَذْتَ إِلَهًا غَيْرِي لَأَجْعَلَنَّكَ مِنَ الْمَسْجُونِينَ (29)
Ertinya: Firaun berkata: “Demi sesungguhnya! Jika engkau menyembah Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari orang yang dipenjarakan.” (al-Syu’ara’ 26:29).

Penjara Firaun sangat dahsyat kerana pesalah atau mangsa kekejaman Firaun akan dicampak ke dalam perigi yang dalam atau lubang bawah tanah secara berseorangan sehingga mati (Tafsir al-Razi & Tafsir al-Munir).

Islam mengiktiraf penjara sebagai kurungan yang berfungsi menyekat angkara jahat sesetengah manusia.

Banyak nas menunjukkan peranan penjara seperti hukuman Allah terhadap lanun yang membuat angkara. Firman Allah:
إِنَّمَا جَزَاءُ الَّذِينَ يُحَارِبُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا أَنْ يُقَتَّلُوا أَوْ يُصَلَّبُوا أَوْ تُقَطَّعَ أَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُمْ مِنْ خِلَافٍ أَوْ يُنْفَوْا مِنَ الْأَرْضِ ذَلِكَ لَهُمْ خِزْيٌ فِي الدُّنْيَا وَلَهُمْ فِي الْآخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ (33)
Ertinya: “Hanyasanya balasan orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan bencana kerosakan di muka bumi ialah dengan dibalas bunuh (kalau mereka membunuh sahaja dengan tidak merampas), atau disalib/palang (kalau mereka membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka bersilang (kalau mereka merampas sahaja), atau dibuang negeri (dipenjara, kalau mereka hanya mengganggu ketenteraman umum). Hukuman yang demikian itu adalah suatu kehinaan di dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.” (al-Ma’idah 5:33).

Signifikan penjara juga dapat dilihat daripada kisah Zulkarnain menyekat kemaraan dua bangsa perosak, Yakjuj dan Makjuj dengan pembinaan tembok besi bercampur tembaga dalam surah al-Kahfi (18: 94-97).

Penjara bukan hanya sebuah kandang mengumpul manusia yang tercemar fitrah sucinya, sebaliknya ia perlu menjadi sebuah ‘klinik kuarantin sementara’.

Ia bertujuan memulihkan kembali nilai murni manusia yang sedikit tercemar dek nafsu kebinatangan.

Inilah yang dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di semua penjara di Malaysia.

Malangnya, apabila penjara disalahguna fungsinya, insan tidak bersalah pula menjadi mangsanya seperti kes penjara rejim al-Assad.

Setiap kali membaca perihal pemimpin yang zalim, nama Firaun pasti diangkat bersama kerana dia adalah ‘mahaguru’ semua pemimpin zalim di dunia.

Bahkan, namanya sengaja diconteng arang oleh Allah dalam al-Quran demi memberi teguran kepada semua pemimpin agar tidak memakai kasut yang sama saiznya dengan Firaun.

Jika tidak anda pasti menjadi seorang daripada ‘ahli kabilah atau kaum kerabatnya’.

Apabila seorang pemimpin yang zalim sudah masuk kabilah atau kaum Firaun, dia pasti akan mengikut ekornya ke neraka:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا مُوسَى بِآَيَاتِنَا وَسُلْطَانٍ مُبِينٍ (96) إِلَى فِرْعَوْنَ وَمَلَئِهِ فَاتَّبَعُوا أَمْرَ فِرْعَوْنَ وَمَا أَمْرُ فِرْعَوْنَ بِرَشِيدٍ (97) يَقْدُمُ قَوْمَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَأَوْرَدَهُمُ النَّارَ وَبِئْسَ الْوِرْدُ الْمَوْرُودُ (98)
Ertinya: “Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Nabi Musa dengan membawa ayat keterangan Kami, dan bukti (mukjizat) yang nyata: Kepada Firaun dan kaumnya; “LALU KAUM FIRAUN MENURUT PERINTAH FIRAUN, SEDANG PERINTAHNYA ITU BUKANLAH PERINTAH YANG BETUL. FIRAUN AKAN MENGETUAI KAUMNYA PADA HARI KIAMAT” kemudian tetaplah dia akan membawa mereka masuk ke neraka. Dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah neraka.” (Hud 11:96-98).

Syurga atau neraka milik mutlak Allah, namun Nabi SAW melalui sabdanya memberikan kita panduan bertaraf lampu merah berkenaan pemimpin yang zalim serta anjing suruhan mereka. Sabdanya:
صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ مُمِيلَاتٌ مَائِلَاتٌ رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ لَا يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلَا يَجِدْنَ رِيحَهَا وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا
Ertinya: “Dua golongan ahli neraka yang belum aku temui iaitu, (1) kaum (petugas pemerintah yang zalim) yang memiliki cemeti seperti ekor lembu dan memukul manusia dengannya… juga (2) wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang…” (Sahih Muslim, 2128).

Syria termasuk dalam sempadan negeri Syam yang dijamin keberkatannya oleh Allah (al-Ma’idah 5:21, al-A’raf 7:137, al-Isra’ 17:1, al-Anbiya’ 21:71 & 81 dan Saba’ 34:18).
Semoga kejatuhan rejim ini menjadi sebab kembalinya keamanan serta kegemilangan bumi Syria. Insya-Allah!

Penulis adalah Timbalan Pengarah Pembangunan Pelajar dan Libat Urus Komuniti Pusat Bahasa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Ulasan