Hannah Yeoh fail rayuan kes saman fitnah terhadap Musa Hassan
Oleh Essa Abu Yamin - Disember 26, 2024 @ 11:11pm
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh hari ini memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnahnya terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berhubung ucapan beliau dalam sebuah forum di Universiti Teknologi Mara (UiTM) empat tahun lalu.
Hannah dalam satu kenyataan berkata, beliau menggesa semua pihak untuk menghormati proses kehakiman dan tidak mempolitikkan agamanya dengan menyebarkan mesej dan video berunsur fitnah.
Katanya, satu laporan polis akan dibuat terhadap video atau mesej berunsur fitnah yang boleh menjejaskan rayuannya.
"Saya menghormati proses kehakiman, namun sudah pasti saya kecewa dengan keputusan itu. Peguam saya telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 26 Disember 2024 (hari ini).
"Saya telah mengarahkan peguam saya untuk memohon agar rayuan ini didengar dengan kadar segera," katanya.
Ahli Parlimen Segambut itu berkata, beliau dinasihatkan oleh peguam bahawa belum ada alasan penghakiman bertulis penuh yang dikemukakan oleh Mahkamah Tinggi.
"Setakat ini, hanya terdapat alasan ringkas yang disenaraikan secara bertulis melalui sistem e-review mahkamah pada 23 Disember 2024.
"Oleh itu, adalah tidak wajar pada peringkat ini untuk membuat apa-apa kesimpulan mengenai apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi secara keseluruhannya berserta alasan-alasannya.
"Saya difahamkan bahawa terdapat banyak mesej-mesej dan video-video WhatsApp yang tersebar di luar sana yang mempolitikkan keputusan ini dan memberi gambaran bahawa saya berhasrat untuk memurtadkan orang Muslim dan menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian. Ini tidak benar sama sekali," katanya.
Hannah menegaskan bahawa dirinya sentiasa menghormati dan mendukung Perlembagaan Persekutuan serta kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.
"Terdapat sekatan undang-undang yang jelas terhadap penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam di Malaysia.
"Saya telah mengangkat Sumpah Jawatan saya serta bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Ianya adalah sumpah yang saya ambil dengan serius dan akan saya patuhi pada setiap masa," katanya.
Katanya, seperti mana yang telah berlaku berkali-kali dalam kerjaya politiknya itu, kepercayaannya sekali lagi dijadikan senjata politik oleh pelampau agama.
"Saya menggesa semua pihak untuk berdiri teguh membendung percubaan ini dan untuk tidak menyebarkan mesej terbabit apabila mereka melihatnya dalam talian," katanya.
Isnin lalu, Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi, membuat keputusan menolak tuntutan fitnah Hannah terhadap Musa kerana gagal membuktikan kenyataan terbabit berunsur fitnah.
Mahkamah Tinggi menyatakan bahawa plaintif gagal membuktikan dua elemen penting fitnah, iaitu kenyataan secara keseluruhan merujuk kepada beliau dan defendan bertanggungjawab terhadap penerbitannya.
Ulasan
Catat Ulasan