Kelantan serambi Makkah, Perlis anjung Madinah


Kelantan serambi Makkah, Perlis anjung Madinah
December 10, 2024

KANGAR: Perlis membawa agenda ‘Anjung Madinah’ dalam Belanjawan 2025 mengambil langkah besar dalam membangunkan negeri ini dengan mengadaptasi model Madinah sebagai asas pembangunan, terutamanya dalam aspek agama, sosial, dan ekonomi.

Model ini diharapkan dapat memberikan kesejahteraan serta menjadikan Perlis sebuah negeri lebih maju dan bertamadun, serupa dengan peranan Kelantan yang terkenal dengan gelaran ‘Serambi Makkah’.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, pelbagai inisiatif pembangunan yang seiring dengan nilai-nilai Islam, termasuk memperkenalkan dasar Perlisku Bestari Lestari pada tahun depan.

“Dasar ini bertujuan untuk memperkukuh pembangunan insan dan kesejahteraan rakyat, sekali gus menjadikan negeri ini lebih inklusif dan lestari,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.

Selain itu, kerajaan negeri juga menghargai penjawat awam negeri ini dengan pemberian insentif sebanyak RM2,000 kepada 1,417 penjawat awam termasuk berstatus kontrak melibatkan peruntukan sebanyak RM2.834 juta.

“Bayaran akan dibayar dua kali, pada bulan Disember dan Mac, sebagai sokongan kepada perkhidmatan awam yang memberi impak besar kepada masyarakat.

“Inisiatif lain termasuk Skim Kifalah yang memberi bantuan kepada keluarga, baik yang beragama Islam mahupun bukan Islam,” ujarnya. HARAKAHDAILY 10/12/2024

Ulasan