'Macam tak percaya Sajidah dan Fatimah sudah tiada...'

'Macam tak percaya Sajidah dan Fatimah sudah tiada...'
Zaid Salim - November 30, 2024 @ 11:29am
Eisya Sofea Zamri, rakan kepada dua beradik yang maut selepas terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil di Kuala Berang, Terengganu, semalam. - NSTP/GHAZALI KORI

KUALA BERANG: Dua beradik perempuan yang maut selepas terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, Ajil, di sini, petang semalam, adalah atlet terbaik sekolah dan daerah.

Puteri Sajidah Azman, 17, dan Siti Fatimah, 13, sangat aktif dalam acara olahraga peringkat sekolah dan Majlis Sukan Sekolah Hulu Terengganu (MSSHT).

Rakan mereka, Eisya Sofea Zamri, 17, berkata dua beradik berkenaan juga sangat ramah dan baik, sentiasa tersenyum serta sangat disenangi.

"Baru tahun lalu, Sajidah berpindah ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ajil dan sepanjang mengenalinya, arwah seorang yang baik, pandai dan mesra dengan semua orang.

"Oktober lalu, dia dapat tempat keempat dalam acara sukan merentas desa 2,000 meter peringkat negeri di Jenagor," katanya.

Menurut Eisya Sofea, dia tidak pernah melihat dua beradik itu dalam keadaan wajah yang masam, sebaiknya mereka sentiasa tersenyum dan mesra.

"Sata tahu kejadian tanah runtuh itu, tak sangka ia membabitkan rakan sekolah. Saya dapat tahu mereka meninggal dunia daripada seorang jururawat yang mengenali kami yang memaklumkan menerusi aplikasi WhatsApp.

"Dia memaklumkan Sajidah dan Fatimah sudah tiada selepas tertimbus dalam runtuhan tanah. Macam tak percaya Sajidah dan Fatimah sudah tiada kerana baru beberapa hari saya jumpa Sajidah di sekolah," katanya yang tinggal di Bukit Perpat, Ajil.

Katanya, dia juga berkawan baik dengan abang dua beradik berkenaan, Uzair, 17, yang juga pelajar Tingkatan Lima sekolah sama.

"Kali terakhir saya bertemu Uzair ketika dia mahu ke sebuah resort di Marang untuk mengikuti kem kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya sambil memaklumkan dia difahamkan Uzair kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu.

Media semalam melaporkan dua beradik maut, seorang lagi cedera selepas kediaman mereka di Kampung Bukit Apit dihempap tanah runtuh petang tadi dalam insiden dipercayai jam 4.30 petang.

Sajidah dan Siti Fatimah, masing-masing ditemukan jam 6.32 petang dan 6.59 petang, manakala Uzair yang terselamat Uzair, 17, ditemukan jam 5.17 petang.

Ulasan