Pantai Timur kembali dilanda banjir
ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) melakukan pemantauan di kawasan yang mula dinaiki air di Tanah Merah, Kelantan. - IHSAN APM
Oleh . ROSMIZAN RESDI
30 Disember 2024, 7:44 am
KOTA BHARU: Hujan lebat di Pantai Timur menyebabkan beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu dinaiki air sejak semalam.
Antara kawasan terlibat di Kelantan membabitkan Jajahan Tanah Merah seperti Bendang Nyiur, Kelewek, Batu Gajah, Manal, Gual Ipoh, Manal, Barol Pial, Batu 8, Batu 5, Batang Merbau, Jedok Tua dan Felda Kemahang manakala di Kuala Krai pula membabitkan beberapa kawasan di Bukit Sireh, Lubuk Simpul dan Keroh.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Kolonel (PA) Mohd. Adzhar Mujab berkata, setakat ini pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang, Tanah Merah mula dibuka untuk mangsa banjir.
“Banjir ini berpunca daripada hujan lebat yang luar biasa di sekitar Tanah Merah dan Kuala Krai sejak pagi semalam. Penduduk diingatkan supaya berpindah PPS serta ke tempat yang lebih selamat sekiranya paras air semakin meningkat yang boleh mengakibatkan bahaya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Di Terengganu, hujan lebat berterusan sejak semalam menyebabkan beberapa buah kampung di Hulu Terengganu dilanda banjir yang menyaksikan ada penduduk berpindah ke PPS.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Peneh, Che Khalid Jusoh berkata, sehingga kini, seramai 27 penduduk daripada 10 keluarga di kampung berkenaan berada di PPS setelah rumah mereka dinaiki air.
“Paras air menunjukkan penurunan petang ini namun memandangkan hujan masih berterusan, kita siap sedia hadapi sebarang kemungkinan berlakunya pertambahan jumlah mangsa,” katanya ketika dihubungi semalam
Sementara itu, antara kampung-kampung lain lagi yang turut dinaiki air ialah Kampung Betong, Kampung Pengkalan Ajal, Kampung Pelandan, Kampung Basung, Kampung Peroh, Kampung Kuala Menjing serta Felcra Bukit Kapah.
Berdasarkan laporan semasa aras air sungai di Hulu Terengganu oleh JPS Daerah Hulu Terengganu, bacaan di Sungai Peneh, Felda Mengkawang ialah 38.40 meter iaitu 0.9m melebihi aras bahaya, manakala Sungai Tersat, Sekayu di paras 20.72m (0.72m melebihi aras amaran.
Ulasan
Catat Ulasan