Peruntuk RM28 juta baiki jalan rosak akibat bencana


Peruntuk RM28 juta baiki jalan rosak akibat bencana
December 10, 2024

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan komited menangani kerosakan jalan akibat bencana hujung November lalu dengan kerjasama agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Datuk Dr Izani Husin memaklumkan, kos pembaikan keseluruhan jalan yang terjejas dianggarkan RM28 juta, melibatkan jalan negeri dan jalan persekutuan.

Mesyuarat khas yang dipengerusikannya pagi tadi mengenal pasti beberapa kerosakan utama, termasuk Jalan Jelawang, Jerek yang runtuh dengan kos RM5 juta, serta Jalan Tumpat-Tujuh-Geting dengan kos RM2.6 juta.

Jalan lain seperti Jalan masuk ke RKT Jerek, Jalan Simpang Tiga Sungai Pahi ke Kampung Peria, dan Jalan ke Loji Rawatan Air Bukit Remah menyumbang kepada keseluruhan kos pembaikan jalan negeri sebanyak RM12 juta.

Sebanyak 12 jalan persekutuan turut mengalami kerosakan teruk, antaranya Jalan Kemuning-Bukit Belah, Jalan Pasir Puteh-Machang, dan Jalan Sungai Sam-Jeli.

Kos pembaikan jalan persekutuan pula dianggarkan sebanyak RM16 juta.

“Jalan Aring-Kenyir yang runtuh dan kini ditutup sepenuhnya di bawah seliaan JKR Terengganu. Namun, JKR Kelantan telah bertindak memasang papan tanda amaran bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa walaupun kos pembaikan ini besar, kerajaan negeri bersama agensi teknikal akan memastikan pelan penyelesaian dilaksanakan dengan cekap demi kelancaran infrastruktur dan keselamatan rakyat.

“Komitmen penuh diberikan untuk menyelesaikan isu ini sebaik mungkin, selaras dengan tanggungjawab kerajaan kepada rakyat Kelantan,” tambahnya.

Mesyuarat tersebut turut disertai wakil JPS, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, serta beberapa agensi lain. – HARAKAHDAILY 10/12/2024

Ulasan