
Surat terbuka bantah Kennedy Jr. ketuai agensi kesihatan AS
PRESIDEN terpilih, Donald Trump bersama Robert F. Kennedy Jr pada perhimpunan kempen pada 23 Oktober lepas, di Gas South Arena di Duluth, Georgia.- AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
10 Disember 2024, 9:33 pm
NEW YORK: 77 pemenang Hadiah Nobel menghantar surat terbuka kepada Senat Amerika Syarikat (AS) membantah pencalonan Robert F. Kennedy Jr untuk jawatan Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia (HHS).
Dalam surat yang dihantar pada Isnin lalu, kesemua mereka menyifatkan calon pilihan Donald Trump kurang kelayakan untuk jawatan itu, selain terpalit dengan pendirian antivaksin.
“Dengan merujuk kepada rekodnya, meletakkan Kennedy untuk memimpin DHHS akan membahayakan kesihatan awam,” menurut surat yang ditandatangani 77 penerima Nobel dalam bidang perubatan, kimia, fizik dan ekonomi.
Antara yang menandatangani surat itu adalah penerima Hadiah Nobel Perubatan 2023, Drew Weissman, yang berperanan membangunkan vaksin mRNA, satu pencapaian besar dalam memerangi Covid-19.
Kennedy, anak saudara kepada bekas Presiden AS, John F. Kennedy Jr, membuat percubaan untuk bertanding sebagai calon presiden pada awal tahun ini, sebelum memberikan sokongannya kepada Trump, yang menang pemilihan pada November lalu.
Sebagai balasan, Trump memilih Kennedy untuk mengawasi bahagian cabang eksekutif yang bertanggungjawab terhadap kesihatan dan perubatan, walaupun pencalonannya perlu mendapat kelulusan daripada majoriti Senat AS, seperti dinyatakan oleh Perlembagaan.
Kennedy, seorang peguam alam sekitar tanpa latar belakang perubatan, menghabiskan masa bertahun-tahun menyebarkan teori konspirasi mengaitkan vaksin dengan autisme, termasuk maklumat palsu mengenai vaksin Covid-19.
“Selain daripada kurang kelayakan atau pengalaman dalam bidang perubatan, sains, kesihatan awam atau pentadbiran, Kennedy juga penentang banyak vaksin yang melindungi kesihatan dan menyelamatkan nyawa seperti campak serta polio.
“Kami dengan tegas menggesa anda untuk mengundi menentang pengesahan pelantikannya,” kata surat itu.
Kennedy bukan satu-satunya calon Kabinet Trump yang mencetuskan kontroversi.
Penyiar Fox News, Pete Hegseth antara yang paling ketara dibantah untuk mengetuai Jabatan Pertahanan, akibat dakwaan serangan seksual dan khabar angin mengenai tabiat minum arak berlebihan.- AFP
Ulasan
Catat Ulasan