
Tiada hujan, penduduk Lipis reda terima tempias banjir
LALUAN Lipis-Jerantut dekat Kampung Tanjung Buluh di Lipis, Pahang yang dinaiki air namun masih boleh dilalui kenderaan ringan.
Oleh NORFARHIZA MOHD. ATAR
3 Disember 2024, 8:03 am
LIPIS: Biarpun cuaca baik dan tidak hujan, beberapa kawasan di daerah ini tetap dilanda banjir ekoran menerima limpahan air dari kawasan hulu.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, beberapa kawasan tumpuan iaitu Dataran Orang Kaya Haji dan padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Orang Kaya Haji dinaiki air sejak kelmarin.
Turut terjejas beberapa laluan dari Lipis ke Jerantut termasuk jalan berhampiran SMK Kerambit yang dinaiki air namun masih boleh dilalui oleh kenderaan ringan.
Seorang penduduk, Mariam Abdullah, 38, berkata, dia terkejut melihat air memenuhi permukaan Dataran Orang Kaya Haji ketika dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah.
“Cuaca baik dan tidak hujan tetapi disebabkan jumlah air yang banyak datang dari hulu sungai, penduduk Lipis turut terkena tempias banjir.
“Saya turut dimaklumkan beberapa kampung di Raub sudah dilanda kepala air maka paras air di daerah Lipis turut meningkat secara mendadak,” katanya semalam.
Seorang lagi penduduk, Nur Syuhada Farah Asyikin Ahmad, 24, berkata, dia dalam perjalanan ke tempat kerja di Bandar Lipis namun terpaksa berpatah balik ke rumahnya di Kampung Mela, Mukim Cheka ekoran beberapa laluan dinaiki air.
“Masa dalam perjalanan pergi itu saya perlu melalui tiga batang jalan yang digenangi air namun masih boleh dilalui kenderaan ringan.
“Namun, ketika hampir tiba di bandar, saya dihubungi oleh rakan yang memaklumkan paras air di laluan terlibat semakin tinggi, jadi saya bertindak berpatah balik kerana bimbang tidak lepas pulang ke rumah,” ujarnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan