
Generasi muda diseru untuk bersedia jadi pemimpin
January 22, 2025
KUALA LUMPUR: Generasi muda pada hari ini perlu bersedia untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang dalam memacu hala tuju ke matlamat yang dikehendaki jemaah.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, generasi muda juga perlu bersedia untuk diletakkan di mana-mana posisi dan jawatan yang ditetapkan.
“Anda kena bersedia. Andalah pemimpin pelapis pada masa depan. Bila? Tak tahu. Di mana? Tak tahu? Jawatan apa? Tak tahu, kerana kita tak boleh letak apa yang kita nak.
“Tapi kita kena bersedia untuk jemaah posisikan kita di mana untuk kita berada, duduk saja di tempat itu. ‘Start’ enjin, masuk ‘gear’, jalan. Pacu menuju ke matlamat dan destinasi yang jemaah nak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyentuh mengenai program khas dinamakan ‘High Potential Talent’ (HPT) yang dibangunkan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia khusus untuk bakal pemimpin masa hadapan.
Mengulas lanjut, Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menegaskan bahawa generasi muda pada hari ini adalah jauh berbeza dan lebih celik maklumat berbanding zaman dahulu.
“Jangan disamakan generasi muda hari ini dengan generasi muda 10-20 tahun dahulu. Sama sekali tidak serupa. Jauh berbeza.
“Prinsip tetap sama, namun zaman berubah. Teknologi berubah. Alam sekeliling berubah. Manusia juga berubah. Kaedah kita dulu sebahagian besar tidak lagi sesuai dipakai pada hari ini.
“Orang muda hari ini bukan lagi sekadar menjadi pak turut, disuruh mengikut sahaja arahan dan kemahuan tanpa ada sebab musabab yang jelas dan benar.
“Orang muda hari ini sangat celik maklumat, peka isu semasa, mahir teknologi. Dengan maklumat yang cepat dan mudah, orang muda menganalisis sebelum membuat keputusan,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan