
Isu rasuah penguat kuasa JPJ tidak serius
AEDY Fadly Ramli ketika ditemu bual di Ibu Pejabat JPJ, Putrajaya, baru-baru ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
19 Januari 2025, 6:37 am
MUKADIMAH
BELUM sampai setahun, DATUK AEDY FADLY RAMLI memegang jawatan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), maka kesempatan dapat menemu bual beliau memberi peluang wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN mengemukakan soalan-soalan yang menyentuh isu penguatkuasaan dan dasar, di pejabatnya di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya.
Segak berjaket, beliau menjawab pelbagai soalan terutama berkenaan integriti dalam kalangan pegawai kanan dan penguat kuasa JPJ. Ikuti wawancaranya yang turut disertai juruvideo, KAMARUL HASIFI KAMARUDIN dan jurugambar, FAISOL MUSTAFA, baru-baru ini.
OPS JPJ
MINGGUAN MALAYSIA: Apa perkembangan operasi-operasi bersepadu yang dilakukan oleh JPJ?
AEDY RAMLI: Kami sudah menjalankan banyak operasi sepanjang tahun lalu dan JPJ akan meneruskan operasi-operasi bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kementerian dan agensi kerajaan lain yang sebelum ini kami belum pernah bekerjasama.
Operasi kami jalankan adalah untuk menjaga kemaslahatan pengguna jalan raya dan antara operasi khas yang sudah dilaksanakan tahun ini adalah Ops Tunggak Kenderaan Asing dan Ops Teknikal Kenderaan Perdagangan.
Tahun lalu pula, Operasi Khas Bas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Perkhidmatan Awam, Operasi Khas Tutup Khas Pelabuhan, Operasi Khas Kenderaan Perdagangan, Operasi Khas Motosikal dan Operasi Khas Teknikal Kenderaan Perdagangan.
Kita melihat kepada hasrat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, beliau mahu JPJ menjalankan gerak gempur terhadap kenderaan-kenderaan yang melakukan kesalahan di jalan raya.
Apakah jenis kesalahan jalan raya yang kerap dilakukan?
Biasalah, anda pun boleh tahu, kebanyakan kes tiada dan tidak memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan. Ini yang paling tinggi setiap kali JPJ menjalankan operasi. Kesalahan lebih muatan dan kesalahan teknikal lain pun sama.
Perancangan tahun ini mungkin berbeza berbanding tahun lalu?
Kami cuba melaksanakan gerak gempur operasi teknikal baharu melibatkan kenderaan-kenderaan perdagangan. Ada juga perancangan memeriksa pusat-pusat pemeriksaan kenderaan seperti Puspakom dan pihak lain yang dilantik.
PERKHIDMATAN JPJ
Sistem perkhidmatan kaunter JPJ lebih baik dan sistematik sekarang? Orang ramai masih merungut masa menunggu masih terlalu lama dan beratur panjang?
Ketika saya mula menyandang jawatan ini, saya menumpukan banyak perkara, satu daripadanya menambah baik penyampaian perkhidmatan JPJ kepada masyarakat. Pelbagai inisiatif kami laksanakan dan orang awam menyambut baik pendekatan kami ambil. Contohnya, kami menambah tempoh operasi JPJ negeri kepada satu jam bagi hari yang kritikal, sibuk dan menambah baik keperluan untuk khidmat pelanggan seperti pusat akses tunggal, JPJ Assist yang membantu orang awam melaksana urus niaga.
Kami juga melancarkan pejabat baharu JPJ Wilayah Persekutuan awal tahun ini yang mesra pelanggan dan perkhidmatannya lebih pantas.
Pendigitalan menyeluruh transaksi JPJ menerusi aplikasi JPJ, Portal MySikap dan kiosk JPJ yang terletak di tempat strategik memudahkan orang awam berurusan dengan jabatan kami.
MASYARAKAT MASIH LANGGAR UNDANG-UNDANG
Cabaran JPJ dalam menguatkuasa undang-undang?
Cabarannya apabila masyarakat tidak mematuhi undang-undang pengangkutan jalan atau pengangkutan awam darat yang ditetapkan kerajaan. JPJ perlukan sokongan rakyat untuk mematuhi kesemua peraturan di jalan raya kerana trend kemalangan dan maut semakin meningkat. Pastinya kami melaksanakan program-program advokasi kepada masyarakat dan aktiviti penguatkuasaan.
Sumber tenaga cukup untuk menguatkuasakan undang-undang pengangkutan jalan raya di seluruh negara?
Kami hanya ada 1,800 anggota di seluruh negara. Untuk melaksanakan tugas penguatkuasaan ini mencabar. Namun, tidak bermakna hanya kami yang menguatkuasa undang-undang, kerana agensi penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut memainkan peranan masing-masing.
EJEN KOSMETIK
Bagaimana dengan kes ‘ejen kosmetik’ yang sediakan perkhidmatan kepada kenderaan berat termasuk ‘sewa tayar’ demi mendapat kelulusan Puspakom?
Kami tiada kuasa masuk ke premis atau kedai yang menjalankan aktiviti seperti ini. Kami perlukan satu badan yang mempunyai kuasa menjalankannya dan untuk ini, JPJ sedang berbincang dan merangka perancangan bersama KPDN tentang bagaimana kami boleh membantu kementerian ini masuk ke premis terlibat dan melihat proses yang berlaku.
TAYAR CELUP
JPJ meneliti kelulusan diberi kepada pengeluar ‘tayar celup’ jika mematuhi standard atau tandaan MS 149 dan MS 224. Rupa-rupanya, pengeluar ‘tayar celup’ yang mendapat kebenaran ini memanipulasi kelulusan dengan mewujudkan semula bunga tayar baharu di atas tayar lama menyebabkan ketidakseimbangan dan kekuatannya tidak dapat menampung berat asal kenderaan.
KENDERAAN TOTAL LOSS
JPJ juga melihat secara terperinci isu kenderaan total loss berdasarkan arahan Bank Negara Malaysia (BNM) kepada syarikat insurans sebelum ini. Pematuhan kepada standard lelongan kenderaan berstatus Beyond Economic Repair (BER) dan ATF perlu penelitian lanjut bagi mengelakkan penjualan semula kenderaan yang sudah tidak layak berada di atas jalan raya tetapi masih berada di sana.
Maka, kenderaan perdagangan yang sudah isytihar sebagai total loss oleh syarikat insurans tetapi diguna semula amat mendukacitakan. Ini isu utama yang membelenggu kami dengan jumlah kenderaan sangat banyak di atas jalan raya.
Tiada peruntukan undang-undang khusus untuk JPJ menjalankan operasi ini?
Ini yang kami sedang bincang dengan KPDN.
Memandangkan belum ada kata putus, isu ini akan tetap berlakulah?
Saya tidak rasa begitu kerana tidak banyak kes melihat sewaan tayar kenderaan berat. Kami sedang teliti apakah punca kuasa yang ada berlandaskan undang-undang sedia ada.
Ada jangkaan masa?
Kami ada memberi tempoh masa kepada pasukan petugas untuk melaksanakan urusan penelitian ini. Hanya selepas ia selesai dan ada kebenaran barulah kami jalankan gerak gempur. Tunggulah.
INTEGRITI, RASUAH, SALAH GUNA KUASA
Tahap integriti pegawai kanan/penguat kuasa JPJ bagaimana?
Saya tidak bolehlah cakap tahap integriti pegawai kanan dan penguat kuasa JPJ ini memuaskan atau membanggakan, namun, saya percaya, masih ada ruang untuk penambahbaikan.
Kes rasuah laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap JPJ juga ada, tetapi, tidaklah terlalu serius dan saya yakin pegawai JPJ melaksanakan tugas dengan sepenuh amanah.
Saya tegaskan, tidak akan berkompromi dengan apa jua kesalahan integriti seperti rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawai kanan dan penguat kuasa JPJ.
Saya tidak akan beri peluang kedua dan akan ambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penjawat awam.
Untuk memastikan pemupukan integriti ini berkesan secara menyeluruh, saya perlukan kerjasama dan sokongan semua anggota menjalankan tugas dengan amanah.
Apa pendekatan Datuk ambil bagi memastikan integriti pegawai kanan dan penguat kuasa JPJ konsisten?
Banyak program integriti yang kami laksanakan antaranya Pelan Anirasuah Organisasi (OACP) JPJ 2021-2025 yang merupakan dokumen dasar antirasuah di peringkat jabatan dan negeri.
Ini bertujuan menyediakan hala tuju dan kerangka pencegahan rasuah secara berstruktur selaras hasrat jabatan mencegah berlakunya perbuatan rasuah. Kami juga bekerjasama dengan SPRM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menerapkan nilai-nilai moral kepada pegawai dan anggota JPJ.
Apa yang kerajaan lakukan untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa sudah banyak, cuma, mungkin, kita perlukan satu kesedaran secara menyeluruh berkaitan rasuah kerana ia bukan melibatkan satu pihak sahaja, malah pihak yang memberi dan menerima rasuah.
Bagaimanapun, saya berterima kasih atas bantuan diberi SPRM kerana menjalankan tugas dan melaksanakan program-program antirasuah di seluruh negara. Selepas ini, lebih banyak lagi program antirasuah akan kami laksana. Insya-Allah.
Berapa ramai yang sudah dibuang kerja/digantung/dipindah ke tempat lain disebabkan pelbagai kesalahan?
Tidak banyak pun, jika merujuk kes laporan SPRM yang terkumpul sejak 2016 hanya 18 kes sahaja. Ini pun kes yang sudah diambil tindakan dan kebanyakannya selesai.
Hanya ada empat kes baharu di bawah SPRM yang kami baru sahaja terima pada hujung tahun lalu. Kami sedang siasat bagi menentukan tindakan yang perlu diambil sama ada tindakan tatatertib atau hukuman lain.
LESEN TERBANG
Isu lesen terbang atau iklan lesen memandu tidak sah masih berlaku?
Ada sejumlah kecil laporan saya terima tentang isu lesen terbang ini. Siasatan berjalan dan ada pemilik akaun media sosial dikenal pasti.
JPJ bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan orang ramai terpedaya dengan iklan-iklan palsu. Mereka yang tidak bertanggungjawab ini tidak mungkin terlepas.
Tindakan tetap diambil jika dapat pihak berkuasa dapat membuktikan ia benar-benar ‘lesen terbang’. Tetapi, isu ini tidak banyak seperti dahulu. Kadang-kadang, institut memandu ini hanya buat pemasaran lebih tetapi, masih mengikuti peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Namun, pemasaran itu membuatkan orang ramai nampak seolah-olah ‘lesen terbang’. Ada lebih 200 institut memandu di seluruh negara dan semua ini di bawah pengawasan JPJ.
LESEN MEMANDU KERTAS
Ramai cakap lesen memandu sekarang hanya menggunakan kertas berlamina macam tiada kualiti. Mengapa tidak guna kad fizikal seperti dahulu?
Ini adalah hasrat kementerian dan jabatan supaya masyarakat berubah kepada pendigitalan melalui aplikasi MyJPJ. Kami mahu membudayakan rakyat Malaysia supaya tidak lagi bergantung kepada kad fizikal kerana ia lebih mudah, hanya menggunakan peranti telefon.
Apakah kerana kerajaan mahu mengawal perbelanjaan dan berjimat untuk kos pengeluaran lesen?
Tidak. Kami ada wang untuk menyediakan kad fizikal ini, tetapi, kerajaan ke arah pendigitalan kerana tanpa kad fizikal pun termasuk pelekat cukai jalan, masyarakat masih boleh bergerak bebas ke mana-mana sekiranya mempunyai lesen sah.
Ada cadangan kembalikan lesen memandu fizikal?
Tiada.
Ada yang cakap pihak polis masih mahu semak kad lesen fizikal dan tidak mahu guna aplikasi MyJPJ. Bagaimana?
Ini kes terpencil pada tahun lalu yang mana mesej kami tidak sampai kepada pihak polis. Tetapi, kami sudah sampaikan keputusan kerajaan dan pihak polis faham dan melaksanakan prosedur sepatutnya.
NOMBOR PLAT KERETA
Ke mana hasil penjualan nombor pendaftaran atau plat kenderaan yang dibida pada harga tinggi?
Kesemua pendapatan ini akan dimasukkan ke dalam akaun Kumpulan Wang Disatukan di bawah Kementerian Kewangan.
Kami tidak mendapat sebarang hasil daripada penjualan nombor plat kenderaan kecuali Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI). Tetapi, kerajaan memutuskan yang Kementerian Pengangkutan dan JPJ memperoleh 50 peratus daripada hasil jualan ini. Bagaimanapun, ini untuk kegunaan program melibatkan rakyat seperti motosikal percuma.
HAD UMUR PEMANDU
Ada cadangan mengehad umur pemandu warga emas?
Untuk masa ini tiada cadangan dan kami tidak berbincang berkaitan apa jua had umur pemandu termasuk warga emas.
Jika ada, ia perlu diputuskan di peringkat kementerian. Namun, saya beri jaminan tiada perbincangan mengehadkan umur warga emas memiliki lesen dan memandu.
Had umur kereta di jalan raya pula bagaimana?
Samalah. Ini pun tiada keputusan dasar daripada kementerian.
KAMERA BADAN
JPJ sudah mohon untuk penggunaan peranti kamera badan kepada anggota penguatkuasa bagi meningkatkan ketelusan dan keberkesanan penguatkuasaan?
Kami sudah berbincang dengan pihak kementerian, malah menteri memang beri sokongan penuh untuk JPJ melaksanakan penggunaan kamera badan ini. Kementerian sedang mengambil tindakan bagi menyalurkan peruntukan yang kami mohon.
Bila pelaksanaan menyeluruh?
Kami jangka pelaksanaannya pertengahan atau hujung tahun ini. Tetapi, kami perlu memperincikannya seperti prosedur operasi standard (SOP) jika kamera ini dipakai anggota penguatkuasa dan mereka perlu patuh kepada SOP tersebut. Tidak semudah memakai kamera itu sahaja.
Sekurang-kurangnya kami mahu mulakan pada tahun ini untuk perolehan kamera badan dahulu sama ada daripada segi sewaan atau pembelian yang akan ditentukan jawatankuasa yang dilantik.
Negara luar juga sudah melaksanakannya lebih lama termasuk Singapura. Bukankah ini contoh terbaik?
Ya, benar. Kami akan menilai dan buat penanda aras pelaksanaan kamera badan di negara luar. Ternyata, ia amat berkesan dan membantu agensi penguatkuasa dalam menjalankan tugas, kerana peranti ini merekod setiap pergerakan dan tindakan anggota dan orang awam yang berdepan sesuatu tindakan atau kesalahan kerana rakaman video dihantar terus ke bilik gerakan di ibu pejabat.
PELEKAT AJAIB ELAK DISAMAN
Utusan Malaysia ada melaporkan mengenai penjualan pelekat khas kepada pengusaha-pengusaha lori untuk mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang. Komen?
Saya maklum yang Kementerian Pengangkutan mengakui kewujudan sindiket ini bagi mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang di jalan raya. Namun, kami sedang teliti perkara ini dan siasat. Saya bincang dahulu dengan menteri.
SINDIKET TONTO
Sebelum ini kenderaan JPJ sering diintip dan diikuti oleh ‘tonto’. Adakah masih berlaku?
Kami masih memantau kegiatan yang dijalankan tonto. Sekarang ini kami tidak mengambil tindakan drastik, cuma saya tidak boleh dedahkan apa rancangan kami untuk menangani sindiket ini.
Kumpulan ini semakin agresif?
Saya tidak nampak kes ini sebagai satu ancaman serius. Lagipun, tahun lalu kami tidak terima laporan berkaitan isu ini. Namun, kami akan sentiasa pantau kegiatan ini. – Mingguan Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan