Pemimpin pembangkang hadiri perhimpunan di Istana Kehakiman
06 Januari 2025, 10:58am
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin & Fareez Azman
PUTRAJAYA: Kelibat beberapa pemimpin pembangkang kelihatan di pekarangan Istana Kehakiman hari ini bagi menyatakan solidariti buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Antara yang hadir adalah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ronald Kiandee dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Selain itu, pemimpin PAS seperti Naib Presiden , Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut hadir.
Hari ini, Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Ia berdasarkan dakwaannya mengenai kewujudan Titah Adendum menyokong permohonan tersebut.
Pendengaran yang dijadualkan pada 5 Disember tahun lalu telah dimulakan pada jam 9 pagi di hadapan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.
Sebelum ini, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyeru semua pihak agar berhenti mempolitikkan isu pengampunan Najib ketika ini.
Beliau menegaskan UMNO tidak pernah berhenti memperjuangkan keadilan untuk Najib namun ia dilaksanakan secara perlembagaan dan tidak akan tersasar daripada proses undang-undang.
Ulasan
Catat Ulasan