Perubahan aspirasi generasi muda faktor abai sijil akademik

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mat Dom. - Foto fail NSTP

Perubahan aspirasi generasi muda faktor abai sijil akademik
Oleh Essa Abu Yamin - Januari 6, 2025 @ 7:00am

KUALA LUMPUR: Perubahan aspirasi generasi muda yang semakin ramai menganggap sijil akademik tidak diperlukan untuk menampung kehidupan, dipercayai antara punca utama sijil akademik dan peperiksaan utama, terutama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lagi diambil serius.


Lebih-lebih lagi apabila pelbagai platform media sosial sering memaparkan gaya hidup pempengaruh yang dilihat mewah, selain kerjaya seperti berniaga dalam talian atau bekerja dalam sektor gig, manakala faktor lain masalah sosioekonomi seperti tekanan kewangan keluarga dan kesihatan mental.

Semua faktor itu mungkin punca 10,000 calon SPM 2024 dikenal pasti Kementerian Pendidikan (KPM) gagal hadir menduduki ujian bertulis subjek Bahasa Melayu pada Khamis lalu. Jumlah keseluruhan calon SPM 2024 seramai 402,956 pelajar di 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Pengarah Pembangunan Akademik Jabatan Akademik dan Antarabangsa Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Madya Dr Suriyani Ariffin, berkata kurangnya kesedaran dan sokongan keluarga serta sikap acuh tak acuh terhadap pendidikan juga memburukkan situasi.

"Kegagalan menduduki peperiksaan, terutama subjek Bahasa Melayu memberi kesan besar kepada masa depan pelajar. Tanpa sijil penuh SPM, mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran ke kolej atau universiti, selain akan sukar memohon pekerjaan sektor awam dan swasta.

"Peluang kerjaya mereka terhad dalam sektor tidak formal dengan pendapatan tidak menentu. Dalam jangka panjang, boleh jejas daya saing mereka dalam pasaran kerja, meningkatkan risiko pengangguran serta mencetuskan pelbagai masalah sosial dalam masyarakat," katanya kepada BH.

Bagi mengatasi masalah itu, Suriyani menyarankan langkah utama adalah meningkatkan kesedaran pelajar dan ibu bapa mengenai kepentingan pendidikan formal, manakala sekolah dan pihak berkaitan juga perlu mengadakan program motivasi dan ceramah kerjaya.

"Program motivasi dan ceramah kerjaya perlu menunjukkan kepentingan SPM dalam membina masa depan. Sokongan kaunseling juga harus perlu diperkasa bagi membantu pelajar yang menghadapi tekanan emosi," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan wajar mempromosi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai alternatif, namun dengan syarat pelajar masih perlu mengambil peperiksaan kertas penting seperti Bahasa Melayu untuk layak menyertai program berkenaan.

Sementara itu, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menyifatkan ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan subjek Bahasa Melayu dan SPM sebagai kerugian besar kepada diri sendiri, ibu bapa mereka dan negara.

"SPM peperiksaan paling penting, asas untuk melanjutkan pelajaran peringkat lebih tinggi dan perlu untuk mohon kerja sektor awam atau swasta. Ia cara mudah untuk mendapat kerja, walaupun ada kaedah lain seperti TVET atau usahakan perniagaan untuk cari pendapatan," katanya.

Justeru, beliau menegaskan, ibu bapa perlu memberi kesedaran kepada anak mengenai kepentingan SPM, memastikan jadual peperiksaan ditampal pada ruang tertentu di rumah serta menanda atau mengingatkan mereka mengenai tarikh dan masa peperiksaan.

Pihak sekolah pula, katanya, disaran mengambil langkah proaktif seperti mengatur guru untuk menjemput pelajar tidak hadir peperiksaan di rumah mereka dan memperbanyakkan ceramah kerjaya serta motivasi seawal Tingkatan Satu lagi.

"Pihak kaunseling di sekolah perlu memberi penekanan mengenai pentingnya SPM. Ketidakhadiran calon hanya boleh diterima jika ada masalah seperti sakit atau kemalangan," katanya menganggap jumlah calon SPM tidak hadir peperiksaan yang mencecah ribuan sebagai membimbangkan.

Justeru, beliau meminta pihak berkaitan seperti KPM dan jabatan pendidikan negeri membuat analisis terperinci isu berkenaan, merangkumi demografi kawasan tempat tinggal pelajar tidak hadir peperiksaan, latar belakang keluarga dan pekerjaan ibu bapa untuk memahami punca sebenar.

"Gerak gempur kesedaran harus dilakukan untuk menangani isu terbabit. Langkah-langkah yang dicadangkan dapat membantu mengurangkan isu ketidakhadiran calon SPM pada masa depan dan memperkukuhkan sistem pendidikan negara," katanya.

Alimuddin turut menekankan agar pelajar fokus menyelesaikan peperiksaan SPM sebelum meneroka bidang seperti pekerjaan sektor gig atau menjadi pempengaruh, manakala TVET pula tidak ditawarkan semua sekolah walaupun ia mampu membawa pelajar ke peringkat lebih tinggi tanpa SPM.

Pengasas Akademi Dr Har, Datuk Dr Harlina Halizah Siraj, pula berpendapat ibu bapa perlu meletakkan semula nilaian tinggi ilmu pengetahuan kepada anak-anak dan mengambil berat kaedah menyuntik motivasi generasi muda bagi meningkatkan kecintaan kepada ilmu.

"Juga bagaimana menyediakan diri mereka dalam bidang yang mereka minati. Ketika ini, dengan perkembangan teknologi pesat, ada pelbagai cara dan kaedah untuk generasi muda menggapai cita-cita, bukan hanya satu saluran guna SPM, iaitu pentaksiran sumatif sahaja.

"Memang SPM masih diperlukan, namun perlu difikirkan satu sistem penilaian lebih menyeluruh, selain memperbanyakkan pentaksiran bersifat formatif untuk mengukur keupayaan sebenar anak-anak di sekolah, bukan hanya dalam konteks darjah kecerdasan kognitif (IQ)," katanya.

Ditanya sama ada pelajar sekolah wajar mengambil subjek kemahiran atau TVET seawal Tingkatan Satu atau Tingkatan Tiga, Harlina berkata, KPM sudah mula merangka strategi inklusif bagi meraikan kepelbagaian bakat dan minat generasi muda.

Beliau berharap akan ada tindakan susulan untuk memastikan calon SPM yang tidak hadir menduduki peperiksaan tidak keciciran, sebaliknya diberi peluang sewajarnya untuk bersaing dengan rakan sebaya.

Ulasan