
Spesies ikan terlarang mudah dibeli dalam talian
PENGASAS Skuad Pemburu Ikan Asing (SPIA) Mohd. Haziq A. Rahman (paling kanan) bersama ahli ketika melakukan tangkapan ikan bandaraya di Sungai Kuyoh, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Awan Besar.
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
8 Januari 2025, 7:45 am
PETALING JAYA: Walaupun dikategorikan spesies larangan untuk diimport dan dimiliki oleh Jabatan Perikanan, beberapa jenis ikan asing masih dijual secara berleluasa dalam platform e-dagang dan media sosial.
Spesies ikan seperti peacock bass, flower horn dan redtail catfish dengan mudah boleh diperoleh dalam platform terbabit.
Dengan harga dari RM20 sehingga mencecah RM400 seekor, peminat ikan hiasan boleh mendapatkan spesies larangan ini dengan mudah tanpa sebarang sekatan.
Malah, spesies aligator fish yang berasal dari Hutan Amazon Amerika Selatan turut dijual secara meluas.
Utusan Malaysia difahamkan, ada pengusaha atau pemilik ikan terbabit tidak mampu memelihara spesies berkenaan disebabkan beberapa faktor seperti kos makanan yang tinggi selain tidak mahu membelanya lagi disebabkan faktor tumbesaran yang cepat.
Mereka kemudiannya melepaskan ikan-ikan tersebut ke dalam sungai atau empangan tertentu.
Ini sekaligus memberi ancaman kepada ikan tempatan apabila spesies berkenaan menjadikan sungai utama di Perak, Selangor dan Pahang sebagai habitat.
Di samping itu, tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai akuarium sekitar ibu negara turut mendapati sejumlah spesies ikan bandaraya yang dibawa dari negara luar turut dijual.
Penjualan tanpa kawalan melibatkan ikan spesies invasif dari luar negara seperti ini sudah semestinya memberi ancaman kepada ikan tempatan seperti kelah, patin buah, tengas, sebarau atau kerai.
Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan spesies invasif ini semakin menguasai habitat tempatan.
Apa yang menimbulkan persoalan adalah bagaimana spesies terlarang ini boleh dijual di pasaran terbuka termasuk menerusi TikTok dan juga platform e-dagang secara meluas pada masa kini.
Sama ada ia berpunca daripada penguatkuasaan yang lemah atau sikap tiada kesedaran dalam kalangan peminat ikan hiasan.
Pembiakan ikan terlarang dalam ekosistem sungai negara boleh menyebabkan kemusnahan keseluruhan hidupan asal, selain memerlukan kos tinggi untuk ‘memulihkan keadaan’.
Jabatan Perikanan mewartakan Peraturan Perikanan yang melarang mana-mana individu mengimport, menjual, memelihara atau menyimpan beberapa spesies ikan hidup kerana terlalu berbahaya kepada ekosistem sungai dan tasik.
Ulasan
Catat Ulasan