‘Syabas Malaysia menyumbang KDNK Singapura’



‘Syabas Malaysia menyumbang KDNK Singapura’
January 16, 2025

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara sinis mengulas hubungan perdagangan air antara Malaysia dan Singapura, yang menurutnya lebih menguntungkan negara jiran itu.

Beliau menyatakan bahawa Malaysia menjual 250 juta gelen air mentah setiap hari kepada Singapura pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu berkata, jumlah bayaran yang diterima Malaysia setiap hari adalah RM7,500.

Pada masa yang sama terangnya, Malaysia (Johor) membeli 12 peratus daripada jumlah air mentah dijual, iaitu 30 juta gelen air terawat, pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen, membayar RM15,000 sehari kepada Singapura.

Dr Mahathir turut mengulas bahawa Singapura menjual 1,000 liter air terawat pada harga 3 Dolar Singapura.

Jelasnya lagi, dengan 3,785 liter bersamaan 1,000 gelen, Singapura memperoleh keuntungan sebanyak 11.36 Dolar Singapura, atau RM36.30, bagi setiap 1,000 gelen air.

Beliau menambah, hasil pendapatan harian Singapura daripada 250 juta gelen air mentah adalah RM9,075,000, dengan pendapatan tahunan mencecah RM3.312 bilion.

“Malaysia tidak memperoleh apa-apa kerana Singapura hanya membayar RM7,500, walaupun hasil jualan air terawatnya kepada Malaysia adalah RM15,000,” katanya dalam media sosial miliknya semalam.

Dr Mahathir berkata, Singapura secara keseluruhannya memperoleh keuntungan RM7,500 setiap hari daripada penjualan air terawat kepada Malaysia.

“Syabas Malaysia kerana menyumbang kepada KDNK Singapura,” katanya sinis. – HARAKAHDAILY 16/1/2025

Ulasan