
Undang-undang gangguan seksual sudah lapuk
GANGGUAN seksual tidak mengira jantina dan pekerjaan. - GAMBAR HIASAN
Oleh FATIN NORIZATI MAT ISA
7 Januari 2025, 6:40 am
PETALING JAYA: Kerajaan disaran memperkenalkan hukuman penjara mandatori terhadap pelaku gangguan seksual bagi memastikan pesalah menerima hukuman yang setimpal dengan kesalahan mereka.
Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, ia berikutan undang-undang sedia ada diperkenalkan sejak 1959 dan 1960 mungkin tidak lagi relevan dengan perkembangan teknologi semasa seperti media sosial dan kecerdasan buatan (AI) yang membuka ruang kepada pelbagai bentuk penghinaan dan eksploitasi mengaibkan mangsa.
“Kes gangguan seksual kini semakin berleluasa termasuk tindakan menyebarkan gambar atau video memalukan mangsa meskipun badan yang dipaparkan bukan milik mangsa, tetapi tetap mengaibkan maruah mereka.
“Justeru hukuman penjara mandatori perlu dilaksanakan di mana pelaku wajib dipenjarakan tanpa pilihan membayar denda. Ini penting untuk memastikan pelaku benar-benar insaf dan mengurangkan kes gangguan seksual,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Akhbar ini kelmarin melaporkan, jenaka seksual dikategori sebagai satu perbuatan lucah dan mengganggu kehormatan yang merupakan satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Menerusi peruntukan sedia ada, mereka boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Shahul Hamid berkata, undang-undang berkaitan gangguan seksual sedia ada di Malaysia diperkenalkan menerusi Kanun Keseksaan sejak 1959 dan 1960.
“Antara peruntukan sering dirujuk ialah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan kerana mengeluarkan kata-kata atau isyarat menghina kehormatan seseorang.
“Selain itu, Seksyen 354 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda, sebat atau gabungan hukuman tersebut bagi kesalahan menggunakan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan,” katanya.
Undang-undang sedia ada yang telah diperkenal memerlukan penambahbaikan bagi menyesuaikan dengan bentuk gangguan seksual di era moden, antaranya termasuk pemerasan berasaskan kandungan seksual, penyebaran gambar atau video lucah secara dalam talian serta gangguan melalui aplikasi Whatsapp dan media sosial lain.
“Kes gangguan seksual melibatkan teknologi ini memerlukan pendekatan lebih tegas dan perundangan lebih kukuh untuk memastikan pelaku tidak terlepas daripada hukuman setimpal.
“Kerajaan perlu bertindak segera dengan mengetatkan undang-undang bagi melindungi mangsa dan mencegah pelaku daripada mengulangi kesalahan mereka.
“Langkah ini bukan sahaja memberi keadilan kepada mangsa tetapi juga berperanan sebagai pencegahan berkesan terhadap jenayah gangguan seksual pada masa hadapan,” katanya.
Shahul Hamid berkata, mangsa gangguan seksual disaran untuk berani tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa bagi memastikan pelaku dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan