PAS sokong Anwar gerakkan usaha bina semula Gaza


PAS sokong Anwar gerakkan usaha bina semula Gaza
February 9, 2025


MACHANG: PAS menyokong hasrat Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang akan mengerakkan usaha membina kemudahan asas seperti institusi pendidikan, pusat perubatan dan masjid di Gaza.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keamanan dan keselamatan sejagat menjadi tanggungjawab seluruh dunia dan rakyat Malaysia terus mendokong solidariti Palestin.

Beliau turut mengimbau pertemuannya bersama bekas pemimpin HAMAS, Ismail Haniyeh kira-kira setahun yang lalu mengenai solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan pembebasan Masjid al Aqsa.

“Isu Palestin ini Kerajaan Malaysia kata akan mengeluarkan peruntukkan untuk bangunkan Gaza. Dalam isu ini kita akan bersama-sama tanpa mengira kedudukan, agama, bangsa dan parti politik.

“Ismail Haniyeh sebut apa yang membanggakan saya di Malaysia, dia kata, PAS dan Umno bermusuhan berpuluh tahun, namun bila isu Palestin mereka duduk sepentas membela umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan pada Majlis Himpunan Sejuta Ummah Cintakan Al-Quds sempena Sambutan Minggu Al-Quds Sedunia 2025 di Dataran Kemahkotaan Machang, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Mohd Nassuruddin Daud dan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Exco Kerajaan Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Baru-baru ini Perdana Menteri mengerakkan usaha membangun semula Gaza melalui kerjasama negara lain termasuk Jepun, Pengerusi Bersama Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).

Usaha itu katanya akan direalisasikan dengan menggembleng kerjasama semua pihak, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan swasta serta seluruh rakyat.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Malaysia dan Jepun juga berjaya mencapai kata sepakat untuk menyegerakan usaha tersebut menerusi inisiatif CEAPAD iaitu dengan menubuhkan dana khas. – HARAKAHDAILY 9/2/2025

Ulasan