Syahir jawab Najwan: Hadi bukan kejar kuasa macam presiden kamu



Berita
Syahir jawab Najwan: Hadi bukan kejar kuasa macam presiden kamu

Diterbitkan: Feb 26, 2025 9:49 AM
Dikemaskini: 9:49 AM

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman membidas Adun Selangor dari PKR, Najwan Halimi, yang semalam mendakwa dia seperti kurang yakin terhadap kemampuan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang untuk diangkat sebagai perdana menteri.

Dalam satu kenyataan, Syahir berkata Abdul Hadi bukanlah pemimpin yang mengejar kuasa seperti mana Presiden PKR, Anwar Ibrahim, yang kini merupakan perdana menteri.

“Malah untuk rekod, ketika polemik jawatan TPM pada 2020, Tuan Guru Haji Hadi menjawab soalan wartawan, "saya balik jadi nelayan pun takpe". Jawapan ikhlas dari hati.

"Itulah presiden parti kami. (Tidak seperti) presiden parti saudara, jauh berbeza dengan presiden parti kami.

"Bukan jawatan perdana menteri yang dikejar presiden kami," kata Syahir.

Semalam, Najwan menyindir Syahir dengan mengatakan dia sepatutnya menamakan Ahli Parlimen Marang itu sebagai tokoh yang mampu memimpin Malaysia sebagai perdana menteri ke-11.

Ini selepas Syahir, yang merupakan setiausaha politik kepada Abdul Hadi menyatakan impiannya untuk melihat seorang teknokrat dipilih sebagai perdana menteri ke-11 bagi menggantikan Anwar.

Syahir juga menasihati Najwan supaya "rajin membuat kerja rumah" sebelum membuat tuduhan sedemikian.

Menurut Syahir, idea kerajaan pimpinan teknokrat dicadangkan Abdul Hadi sendiri sejak 2018 dan dia sekadar mengulangi cadangan presiden PAS itu.

“Saya sekadar ‘recycle’ cadangan TGHH sendiri, ketika Malaysia berdepan ‘Kerajaan Kakistokrasi’ hari ini,” katanya.

Ulasan