Disyaki terima rasuah RM400,000, ahli perniagaan ditahan SPRM di Kedah


Disyaki terima rasuah RM400,000, ahli perniagaan ditahan SPRM di Kedah
Oleh M Hifzuddin Ikhsan - Mac 5, 2025 @ 4:21pm
ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan reman seorang ahli perniagaan tempatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah kira-kira RM400,000.

Wang itu diterima suspek daripada seorang lelaki sebagai balasan mendapatkan hak penggunaan tanah milik salah sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri.

Perintah reman selama lima hari sehingga 9 Mac terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas menerima permohonan SPRM di Mahkamah Majistret, di sini, pagi tadi.

Menurut sumber, suspek ditahan di Pejabat SPRM Kedah di sini, sekitar jam 3.25 petang semalam, ketika hadir memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Disyorkan


"Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai meminta wang rasuah berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah bagi satu projek usahasama.

"Suspek dipercayai melakukan kesalahan berkenaan sekitar Jun 2020," katanya.


Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan terbabit.

Katanya, kes itu disiasat lanjut di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Ulasan