Gunung berapi Lewotobi Laki-laki 'amuk' lagi


Gunung berapi Lewotobi Laki-laki 'amuk' lagi

21 Mac 2025 05:30pm
Masa membaca: 1 minit

JAKARTA - Letusan terbaharu gunung berapi Lewotobi Laki-Laki telah memuntahkan awan panas setinggi lebih lapan kilometer di permukaan udara dan menyebabkan amaran tahap tertinggi dikeluarkan pada Jumaat.

Agensi geologi Indonesia memaklumkan letusan terbesar gunung berapi terletak di wilayah Nusa Tenggara Timur (NTT) itu berlaku pada malam Khamis selepas puluhan aktiviti vulkanik direkodkan sejak 13 Mac lalu.

Sebagai langkah berjaga-jaga, beberapa penerbangan ke Bali turut dibatalkan, namun lapangan terbang di pulau peranginan itu masih beroperasi seperti biasa.

Ketika 'amukan' Lewotobi Laki-Laki pada November 2024, sekurang-kurangnya sembilan terkorban manakala ribuan penduduk terpaksa dipindahkan setelah perkampungan berhampiran dilanda aliran lava.

Indonesia mempunyai hampir 130 gunung berapi yang masih aktif dan terletak di Lingkaran Api Pasifik di mana kawasan aktiviti seismik yang tinggi di atas pelbagai plat tektonik. - Agensi

Ulasan