
Hadkan tempoh perkhidmatan semua wakil rakyat untuk 10 tahun juga
KETIKA ini tiada peruntukan undang-undang yang mengehadkan tempoh jawatan sebagai wakil rakyat sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri.
Oleh Meja Rencana
21 Mac 2025, 9:00 am
CADANGAN bagi mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun seperti yang sedang hangat diperkatakan pada ketika ini patut juga dilakukan kepada semua wakil rakyat dalam negara kita sama ada di peringkat persekutuan ataupun negeri.
Ini penting supaya peluang dan ruang yang mencukupi dapat diberikan kepada semua warganegara Malaysia yang layak untuk tampil bertanding dan seterusnya menjadi wakil rakyat.
Pada masa sama juga, kita dapat elakkan mana–mana individu tertentu menjadi wakil rakyat untuk satu tempoh yang sangat lama hingga boleh terdedah dengan risiko salah guna kuasa, rasuah dan kesalahan–kesalahan yang lain.
Ia juga bagi mengelakkan sebarang tanggapan negatif datang dari orang ramai terhadap mana–mana individu yang terlalu lama menjadi wakil rakyat.
Dengan menghadkan tempoh jawatan yang dipegang oleh semua wakil rakyat ini juga, kita dapat memberi lebih banyak ruang dan peluang kepada muka–muka baharu yang memiliki idea–idea baharu dan lebih bernas dalam memberi khidmat kepada rakyat dan membangunkan negara.
Kuasa monopoli mana–mana individu dalam memegang jawatan wakil rakyat sama ada sebagai ahli Parlimen di Dewan Rakyat ataupun sebagai ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu dikawal dan dihadkan demi kemajuan dan kemakmuran negara.
Setiap rakyat Malaysia patut diberi ruang dan peluang untuk menjadi seorang wakil rakyat sama ada di peringkat persekutuan ataupun di peringkat negeri dan ini dapat dijayakan sekiranya kita menghadkan tempoh masa berkhidmat setiap Yang Berhormat (YB) selama 10 tahun atau dua penggal seperti yang turut dicadangkan terhadap tempoh khidmat perdana menteri pada ketika ini.
Namun, tiada peruntukan undang–undang pada ketika yang boleh menghadkan tempoh jawatan seseorang itu untuk menjadi seorang wakil rakyat. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, ruang dan peluang yang luas harus diberikan kepada semua pihak untuk tampil menjadi wakil rakyat dan menyumbang bakti. Sampai bila rakyat kita hendak tengok muka dan idea yang sama setiap kali Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) mula bersidang?
Negara tidak boleh hanya bergantung pada individu–individu tertentu sahaja untuk menjadi wakil rakyat dan pemimpin dalam negara kita. Ramai lagi rakyat Malaysia yang layak untuk masuk bertanding dalam proses pilihan raya serta menjadi wakil rakyat.
Ruang dan peluang yang mencukupi perlu diberikan kepada semua rakyat Malaysia untuk bekerja dan bekhidmat sebagai wakil rakyat.
Sudah sampai masanya, mengambil satu langkah yang lebih berani dan drastik terhadap perkara ini.
Semua pihak harus melihat cadangan ini dari sudut yang positif iaitu bagi mengukuhkan lagi prinsip dan amalan demokrasi.
Pihak kerajaan dan semua pemimpin boleh melihat cadangan ini dengan lebih teliti bersama dengan pakar–pakar yang berkaitan sebelum mengambil sebarang keputusan muktamad.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Ulasan
Catat Ulasan