Impak debat agama bergantung kepada penganut ajaran


Impak debat agama bergantung kepada penganut ajaran

11 Mac 2025 08:00am
Masa membaca: 1 minit

Impak debat agama antara Saravanan (kiri) dan Zamri Vinoth (kanan) bergantung pada pendekatannya. Gambar kecil: Novel Lyndon

SHAH ALAM - Impak debat agama antara Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu bergantung kepada penganut ajaran masing-masing.

Pengerusi Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Novel Lyndon berkata, ini kerana perdebatan tentang agama melibatkan kepercayaan dan tafsiran seseorang tentang konsep Tuhan.

“Isu agama perkara yang sangat sensitif kerana konsep agama secara antropologikal melibatkan fahaman, kepercayaan, hubungan individu dengan Tuhan, ritual, adat resam, tafsiran individu tentang konsep ketuhanan, budaya, pegangan hidup, nilai dan moraliti.

“Perdebatan agama yang bertujuan menentukan kebenaran antara dua kepercayaan boleh memberi kesan negatif kepada kestabilan sosial negara,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.


Menurutnya, antara risiko utama dikhuatiri ialah kemungkinan perdebatan itu menjadi pencetus kepada ketegangan kaum.

Namun katanya, jika perdebatan itu bertujuan mencari titik persamaan dan meluaskan pemahaman terhadap ajaran kedua-dua agama, ia boleh menjadi satu platform pendidikan bermanfaat.

“Jika ia diadakan dengan niat meningkatkan literasi agama dan membina semangat saling menghormati, ia boleh beri kesan positif,” katanya.

Ulasan